PAS hormati perbezaan antara agama

MELAKA: PAS tidak pernah menyekat atau menghalang penganut agama lain dalam menjalankan aktiviti keagamaan mereka kerana Islam mengajar umatnya agar menghormati serta menjaga sensiviti di antara satu sama lain.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man bahawa Islam tidak membenarkan penganutnya menganggu atau merosakkan tempat ibadat agama lain bahkan memberikan hak untuk mereka mengamalkan agama mereka sepenuhnya.
 
“Itu sebab kalau kita lihat di mana-mana negara Islam di dunia ini, terdapat penganut agama lain yang dengan bebas dapat mengamalkan agama mereka tanpa diganggu-gugat oleh majoriti umat Islam.
 
“Kali ini kami bersama Dr Bala membuat lawatan ke kuil Hindu di Jasin ini bagi menyampaikan mesej PAS bahawa Islam tidak menghalang orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka sepenuhnya,” jelasnya.
 
Beliau berkata, pemerintahan PAS di Kelantan membuktikan di mana tiada satu kuil, gereja atau tempat ibadat agama lain dirobohkan sehingga kini dan mereka bebas mengamalkan ajaran mereka.
 
“Islam menggalakkan keharmornian hidup di antara agama atau kaum agar semua rakyat dapat hidup rukun dan damai serta dapat menghindarkan kekacauan di dalam negara seperti di negara lain.
 
“Kami akan teruskan usaha menyampaikan penerangan dan mesej PAS ini kepada penganut agama lain sepanjang masa agar salah faham terhadap PAS yang ditimbulkan oleh BN selama ini dapat dihapuskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2018
Advertisement