CUReS asah kepekaan Ameerah WP terhadap isu

TITIWANGSA: Ameerah Wilayah Persekutuan (WP) telah menganjurkan Bengkel Cakna, Ulas dan Respon Isu (CUReS) yang dilangsungkan di Dewan Seminar Darul Ummah, Kampung Pandan,
di sini, semalam.
 
Ia diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran teknik penulisan dalam menyebar luas capaian dakwah serta menggerakkan agenda penerangan PAS.
 
Bengkel disertai Exco-exco Ameerah Wilayah Persekutuan itu telah dibimbing oleh Pengarang HarakahDaily, Ustaz Izwan Abdul Halim yang juga Pengarah Jabatan Penerangan Pemuda PAS Malaysia.
 
Antara diterapkan beliau pada bengkel tersebut adalah kaedah pengurusan isu bermula dari mengenali dan menganalisa sehingga teknik menghasilkan kenyataan media.
 
Para peserta turut dibimbing mencerap isu-isu semasa bandaraya yang merupakan pusat pentadbiran negara sebagai persediaan menghadapi PRU14 secara teori dan rancangan praktikal ‘atur gerak’.
 
Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan, ‘Atikah Abd Rahman berkata matlamat bengkel adalah untuk mengasah kemahiran Muslimat Muda PAS dalam mendepani isu-isu semasa yang melanda negara. 
 
Beliau juga berharap agar Ameerah Wilayah Persekutuan menjadi salah satu medan kepada wanita muda Malaysia untuk terus cakna isu-isu semasa yang melanda terutamanya berkaitan hal ehwal wanita muda.
 
“Tujuan kami supaya dapat berdakwah dan memperjuangkan Islam kepada masyarakat, khususnya agar golongan wanita muda dapat pemahaman yang lebih terarah kepada penghayatan Islam,” kata beliau.                                                                                                                    
                                                                                                                                                                      Sementara itu, Exco Ameerah Wilayah Persekutuan, Mardiyah Hayati Mohd Zolkeplai mencadangkan program lanjutan diadakan untuk menguasai banyak lagi kemahiran.
 
Antaranya menurut beliau, seperti penyediaan dokumen asas memorandum, kenyataan media, artikel, laporan berita dan lain-lain.
 
“Program seumpama ini menjadi salah satu cara Muslimat Muda PAS memberi penerangan kepada masyarakat dan dapat mengaplikasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dalam berdakwah,” ujar beliau.-HARAKAHDAILY 5/2/2018
Advertisement