Bukan dua kabinet – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: PAS menafikan telahan kononnya jika parti ini memerintah akan wujud dua kabinet memisahkan antara kabinet Islam dan bukan Islam.

Advertisement

“Dua kabinet itu tak betul. Bukan dua kabinet. Pembahagian tugas. Biasalah dalam kerajaan, ada Menteri, Timbalan Menteri, Perdana Menteri, Menteri Tugas-tugas Khas, Menteri.

“Ada Menteri yang dia pantau Kementerian-kementerian. Itu biasakan pembahagian? Bukan dua kabinet, itu dia tak faham, tak faham ulasan saya, tak faham,” kata Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut di sini semalam.

Beliau juga menolak tohmahan seorang penganalisis politik kononnya PAS mahu membawa sistem kasta agama.

Tegas beliau, Islam menghapuskan kasta sedangkan agama lain seperti Hindu, Kristian ada kasta di mana paderi dianggap suci.

Berbeza dengan Islam kata beliau yang menyebutkan bahawa golongan ulama ini tidak suci, dan mereka juga berdosa seperti golongan lain serta mesti bertaubat.

Tegas beliau, Islam menentang teokrasi yang menjadikan ahli agama sebagai pemimpin mutlak.

Malah kata beliau, Islam menentang diktator, dalam masa yang sama Islam juga mengawasi demokrasi.

“Demokrasi itu hak rakyat. Tapi rakyat jangan dibeli. Rakyat jangan dipengaruhi. Kalau majoriti rakyat yang jahil dipengaruhi, demokrasi dah jadi tak betul. Islam menguasai demokrasi,” tegasnya yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.

Dalam isu sama beliau turut menegaskan bahawa dua kabinet dimaksudkan itu adalah gabungan mereka yang menganut ideologi negara dan tidak menganut ideologi negara dalam satu pemerintahan.

Iaitu terangnya, mereka yang mengikut pembahagian tugasan dengan bidang tugas tertentu, bukan dua kabinet terpisah sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu.

“Dalam negara moden hanya mereka yang menganut idealogi negara sahaja boleh jadi Menteri Kabinet. Kalau Demokrat, semua Demokrat. Republikan semua Republikan. Barisan Nasional, semua Barisan Nasional.

“Kalau kita Kerajaan Teknokrat boleh orang kanan yang lain boleh jadi Menteri, dia ada kepakaran. Bukan makna dua itu. Kepakaran-kepakaran dia. Itu kena faham. Bukan makna dua (kabinet), itu tak, ulasan itu tak kena,” tegasnya lagi.

Beliau menegaskan perkara yang diutarakan sebelum ini ditulis oleh ulama-ulama dalam kitab-kitab Islam yang dikaji oleh ilmuwan Barat.

“Buku Ahkam Sultaniyyah al-Mawardi. Buku al-Kharaj Abu Yusuf, itu dalam mazhab Hanafi. Siyasah Syar’iah Ibnu Taimiyah mazhab Hambali. Ini kitab-kitab yang ditulis oleh ulama Islam. Ghiath Imamul Haramain,” jelas beliau

Ujarnya lagi buku-buku yang ditulis oleh ulama Islam berkenaan dengan pemerintahan negara yang diciplak oleh orientalis di mana orang Barat tidak mengenali demokrasi moden.

Kata beliau, mereka tahu Revolusi England, Revolusi Perancis, Revolusi Amerika, Revolusi Perancis, Revolusi Rusia, adalah usaha mengubah sebuah kerajaan kerana mereka (Barat) tidak faham mengenai pilihan raya ketika itu.

Disebabkan itu tegas beliau, Barat mengkaji sejarah Islam dan menemui bagaimana untuk mengadakan pilihan raya ini.

“Sistem pemerintahan begitu juga. Banyak Islam memberi sumbangan kepada Barat. Tapi Barat tak berterima kasih kepada Islam, dan mengelirukan orang. Termasuklah mereka yang tulis berita ini dia tak baca, dia dengar sahaja. Sepatutnya dia kena kajilah,” tegasnya lagi. -HARAKAHDAILY 6/2/2018