Khalid tolong kita

PADA makan selesai Fastaqim 2.0 Selangor di Shah Alam 21 Januari, saya duduk semeja sebelah Sehak. Di sebelahnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Selalunya bila Tuan Guru Abdul Hadi hadir di majlis parti di Selangor Sehak ada sama.

Advertisement

Masa makan itu kami tidak bercakap politik, tapi bercakap tentang masa muda semasa bujang dulu.

Seminggu kemudian Sehak mengumumkan dia akan tolong PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di Selangor tapi tidak masuk PAS.

Itulah Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar pertama Pakatan Selangor yang masa muda saya mengenalinya Sehak. Ayahnya Haji Ibrahim, pesara polis, bondanya, neneknya, kakaknya membahasakan Khalid itu Sehak dengan saya.

Saya tahu dia Khalid bila dia kahwin dan saya jadi pengapitnya. Selepas kakaknya wartawan Siti Zaharah mati awal 1970-an kami putus hubungan. Bertemu semula dengannya bila dia masuk PKR.

Saya tanya macam mana dia masuk politik? Dia tidak minat politik. Diapun tidak tahu macam mana boleh jadi PKR. Kira-kira katanya jika dia hendak berpolitik, dia masuk PAS.

Agaknya semasa dia dalam PKR dan jadi Menteri Besar, dia tidak berpolitik sangat. Agaknya jika dia berpolitik, dia ikut saja apa yang partinya mahu, dia selamat. Macam Dato’ Seri Shahidan Kassim. Apa saja yang Dato’ Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad kata dulu, dia ikut saja. Dan sekarang, apa yang Mahathir kata dia tidak ikut lagi. Dia ikut apa saja yang Dato’ Seri Mohd Najib Razak kata.

Sekarang Khalid Ibrahim belum mahu berpolitik lagi. Agaknya cukuplah denan pengalaman singkatnya dalam politik dengan PKR dulu. Mungkin payahnya dengan pengalaman yang singkat itu jauh lebih payah dari kepayahan sepanjang dalam PNB dulu.

Tetapi dipercayai dia suka PAS. Kalau dia masuk PAS dia berpolitik lagi. Maka dia putuskan setakat ini tidak masuk PAS, sebaliknya dia hendak menolong PAS. Dia suka PAS menang dan hendak melihat PAS menang baik di Selangor mahupun di Persekutuan.

Jika Selangor dapat dikuasai, itulah yang sama disukainya. Bukan justeru hendak memadankan muka Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tetapi boleh menolong PAS menyambung kerja-kerja yang tidak selesai dulu.

Sejak bersara dari MB dia selalu bersama dalam majlis PAS dan tidak diketahui dia ada menolong PAS. Dalam PRU nanti, dia berjanji untuk menolong PAS.

Menolong PAS itu samalah seperti menyokong PAS, bahkan menolong itu adalah lebih baik dari menyokong. Penyokong PAS itu adalah pada umumnya kekuatan yang kedua bagi parti itu. Kekuatan peertamanya adalah orang PAS yang menjadi ahlinya. Dan kedua adalah penyokongnya yang tidak menjadi ahlinya.

Penyokong itu memang berperanan. Kadang-kadang ia memberi lebih banyak sumbangan daripada orang PAS sendiri. Selama ini yang merancakkan kempen dan perjuangan PAS antaranya adalah peranan penyokong. Macam-macam kerja yang penyokong buat, kadang-kadang mereka lebih rancak berbanding petugas PAS.

Semasa saya bertanding dengan Mahathir dalam PRU1999 di Kubang Pasu, antara datang menyumbang yang saya tidak kenali adalah seorang dari Kuala Lumpur. Saya tanya dia berkhidmat di mana? Jawabnya di PNB. Jangan-jangan sumbangannya dari Sehak.

Sekalipun Sehak dan Khalid itu adalah orang yang sama, tapi Sehak lebih dekat dengan saya kerana saya adalah ‘family friend‘nya.
 
Khalid tidak mahu masuk PAS tetapi dia mahu jadi penolong PAS. Penolong adalah ke depan dari penyokong. Penyokong ada sumbangan tetapi tidak semua penyokong memberi sumbangan. Selama ini penyokong banyak memberi sumbangan wang ringgit, tenaga dan semangat. Tapi ada juga penyokong memberi semangat saja.

Semangat dan pandangan adalah sumbangan juga. Mungkin tiada yang lain dapat diberinya. Sebagai penyokong dia tidak beri undinya pada orang lain dan dia pesan pada anak-anak dan adik-beradiknya beri undi pada PAS. 

Akan tetapi Khalid sudah berjanji mahu menolong PAS. Menjadi penolong adalah lebih ke depan daripada menjadi penyokong. Penyokong memberi sumbangan yang besar tetapi penolong memberi lebih besar dalam serba serbi. 

Di luar PAS penyumbang PAS itu penolong, kemudian penyokong, lepas itu atas pagar boleh menyokong dan boleh tidak menyokong. Menyokong bersebab. Jika idak bersebab dia tidak menyokong sebaliknya memberi undi pada orang lain. Atas pagar yang terbaik ialah tidak menentang PAS dan tidak menyokong parti lawan. 

Risiko orang atas pagar atau yang tidak ke mana-mana ini ialah dia menunggu siapa boleh beri lebih banyak kepadanya. Dari kanan dia terima dan dari kiri dia terima.

Sekalipun dia sudah terima dari satu pihak, jika datang tawaran yang lebih baik, dia terima yang lebih baik dan tidak pula pulangkan pemberian yang kurang itu. Dia makan keliling.

Mereka tidak anti-PAS tetapi tidak mengundi PAS kerana PAS tidak dapat beri apa-apa padanya. Mereka adalah sama saja dengan yang menentang PAS atau anti-PAS.

Orang seperti Khalid ini ramai. Dalam musim pilihan raya mereka memenuhi markaz, seusai pilihan raya mereka hilang. Bila ada pilihan raya mereka datang semula. Tetapi ramainya tidak mengumumkan mereka menolong PAS. Yang berani mengaku menolong PAS masa ini ialah Khalid.

Khalid bolehlah dikira rakan kongsi PAS dan sekalipun tidak menjadi ahli PAS tetapi dengan mengumumannya menyokong PAS seolah-olah dia sudah memutuskan hubungannya dengan satu pihak lagi, yang tidak mungkin lagi dapat apa-apa daripada Khalid sekurang-kurangnya dalam pilihan raya yang dekat ini.

Apa pertolongan yang Khalid hendak beri tidak usah ditanya dan dikorek. Apa yang dia beri terima sajalah. Dia bukan seorang saja menjadi rakan PAS. Ramai lagi yang sepertinya tetapi tidak menyatakan sepertinya. Dan dia mungkin menjadi contoh kepada lain-lain yang mahu melihat PAS berjaya dan bergaya dalam pilihan raya.

Dan kita mungkin tidak tahu orang duduk di sebelah kita dan solat di masjid sebelah kita adalah seorang penolong PAS seperti Khalid tetapi tidak menyatakan dirinya.

Khalid dipercayai tidak menolong sekadar PRU ini saja. Dia akan menjadi kawan selepas PRU dan selama-lamanya. Tidak kira PAS berkuasa atau tidak seleps PRU ini. Jika PAS berkuasa, dia akan menjadi penolong yang sedia menunggu untuk apa-apa kerja saja dalam kerajaan pro-Islam. Pertolongannya itu dalam apa bidang jua sedang menunggu.

Dengan imejnya yang baik, orang yang menunggu-nunggu apa dasar ekonomi dan pembangunan PAS setelah berkuasa nanti boleh berpegang kepada ketokohannya dalam ekonomi, pembangunan, kewangan dan lain-lain.

Amerika, Eropah, Jepun, China dan lain-lain telah tahu lama dengan keuppayaannya. Bila dia mengumumkan menolong PAS, maka dia telah memberitahu dunia seluruhnya tentang hala tuju PAS yang berkuasa nanti.

Kuasa PAS nanti tidak rasuah. Tugas awal kuasa PAS nanti ialah unuk menyelesaikan hutang yang bertimbun, skandal yang banyak sebelum dan sesudah Najib. Kerja itu besar. Khalid jadi penolong PAS menangani wilayah yang hampir runtuh ini. -HARAKAHDAILY 7/2/2018