Projek Bandar Baru Dabong diteruskan

KOTA BHARU: Bandar Baru Dabong yang pernah diletak batu asas sebelum ini akan diteruskan semula dengan dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, syarikat yang terbabit dengan projek pembangunan tersebut sebelum ini berdepan masalah kewangan.

Selain itu katanya kawasan terlibat ditenggelam banjir besar pada Disember 2014.

“Tiada kawasan lain yang sesuai untuk dibangunkan bandar baru di Dabong melainkan kawasan tersebut.

“Pada perbincangan akhir kita kekalkan projek bandar baru di tempat yang sama,” kataya di sini.

Pada 8 Oktober 2012 bekas Menteri Besar, Allayarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan pecah tanah projek tersebut yang merangkumi kawasan seluas 112 ekar.

Projek tersebut hasil usaha sama anak syarikat kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dengan DPS Group of Companies membabitkan pelaburan lebih RM40 juta.

Kompenannya membabitkan projek perumahan iaitu 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 (banglo) dan 20 unit (rumah kedai).

Fasa pertama melibatkan pembinaan 12 unit rumah teres kos sederhana rendah, 29 unit (kos sederhana) dan seunit rumah banglo.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri merancang membangunkan Bandar Baru Sungai Terah, Gua Musang.

“Kawasan seluas 1,000 ekar daripada kawasan ladang akan dijadikan lokasi bandar baru,” maklumnya. -HARAKAHDAILY 6/2/2018