Purple Hijab Day tampil bergaya biarpun berhijab

MIRI: Pertubuhan Nisa’ Sarawak (Nisa’) Cawangan Miri dengan kerjasama Nageena dan PermyMall Miri telah mengadakan Purple Hijab Day (PHD) sempena Karnival Lots Of Love (LOL), di PermyMall, di sini kelmarin.

Advertisement

Program tersebut telah diilhamkan sempena Hari Hijab Sedunia dicetuskan oleh seorang wanita daripada New York yang bernama Nazma Khan.

Penganjuran sama telah diadakan serentak di seluruh Malaysia dan mendapat sambutan menggalakkan terutama dari golongan wanita muda.

Slot bermula dengan tutorial pemakaian hijab dan slot sembang santai disampaikan oleh panelis Tanyalah Ustaz (TV9) Aisyah Hijanah, yang didatangkan khas daripada Kuala Lumpur.

Kebanyakan hadirin adalah terdiri daripada pelajar sekolah, golongan wanita muda dan pelbagai lapisan masyarakat yang rata-rata mengakui mendapat ilmu baharu dari program tersebut.

Turut memeriahkan program adalah persembahan daripada Amey Suhaili yang merupakan seorang penyanyi tempatan.

Program PHD ini telah berjaya menghubungkan generasi muda di sekitar bandar Miri sesuai dengan motto Pertubuhan NISA’ iaitu “Penghubung Generasi Muda”.

NISA’ merupakan sebuah NGO yang berlatarbelakangkan kebajikan dan kemasyarakatan dan telah banyak melaksanakan program di sekitar Miri.

Antaranya rutin selalu dilaksanakan NGO ini ialah ziarah ke wad wanita di Hospital Miri dan sumbangan Kembali Ke Sekolah untuk pelajar yang kurang berkemampuan serta menyantuni warga asnaf. –HARAKAHDAILY 6/2/2018