Tarik Darjah Kebesaran: Siapa sebenarnya berpolitik?

TERDAPAT pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba mempertikaikan tindakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D. J. M. K.) (Al-Ismaili II) yang telah dianugerahkan kepada Naib Presiden PAN, Haji Husam Musa, dan Pengerusi PAN Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Advertisement

Kata mereka, tindakan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk ke atas Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia kononnya merupakan satu campur-tangan pihak istana di dalam urusan politik negeri Kelantan, kerana ia kononnya mempunyai motif politik tertentu atau kerana ia kononnya dibuat di atas cadangan dan desakan lawan politik kepada PAN di Kelantan.

Lebih teruk ialah komen Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang bukan pun anak Kelantan tetapi adalah anak Pulau Pinang yang mencari makan di Perak, yang berlagak lebih sudu dari kuah dengan mendakwa kononnya penarikan balik darjah kebesaran ini dibuat kerana ketegasan Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim dalam menegaskan prinsip mereka seolah-olah mereka menjadi mangsa kepada perjuangan mereka.

Seperti sedia dimaklumi, penarikan balik darjah kebesaran ini adalah kuasa prerogatif Sultan Muhammad V yang diperuntukkan di dalam Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menyatakan Baginda boleh berbuat demikian jika pada pertimbangan Baginda “ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan (oleh penerima darjah kebesaran ini) yang mengharuskan diperbuat demikian itu”.

Dr Mujahid dan pihak-pihak tertentu ini tidak sepatutnya meletakkan kesalahan ke atas Sultan Muhammad V dengan memberikan gambaran seolah-olah Baginda berbuat demikian kerana Baginda tidak senang dengan ketegasan prinsip Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim kerana tidak menjadi kelaziman adat istiadat Melayu Kelantan untuk pihak istana menzahirkan kesalahan atau dosa yang telah dilakukan (oleh penerima darjah kebesaran ini).

Adalah sangat tidak wajar untuk penarikan balik darjah kebesaran ini dipolitikkan oleh mana-mana pihak semata-mata kerana ia melibatkan orang politik kerana sebelum ini pun tiga orang bekas Menteri Besar dan seorang bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, iaitu Tan Sri Mohd Asri Muda, Datuk Ishak Lotfi Omar, Tan Sri Mohamed Yaacob dan Tan Sri Hussein Ahmad, juga pernah ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Sultan Ismail Petra.

Di sebalik menjulang tanpa usul periksa pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini dengan cuba memberikan persepsi tertentu ke atasnya, apatah lagi bila pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini sendiri menyebut mereka sendiri tidak mengetahui punca penarikan balik ini dibuat, Dr Mujahid dan pihak-pihak tertentu ini sepatutnya menggunakan ruang ini untuk menggesa pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini melakukan sedikit muhasabah diri.

Tidakkah pemimpin PAN Kelantan pernah terfikir bahawa tindakan mereka menjaja Tengku Mohamed Sultan Yahya Petra di atas nama beliau sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” di dalam majlis-majlis politik PAN di Kelantan, sebagai satu contoh, bukanlah satu cubaan untuk mempolitikkan istana dan satu cubaan untuk memberikan persepsi tertentu terhadap Sultan Muhammad V hanya untuk kepentingan politik PAN?

Sebagaimana pemberian anugerah mewajarkan kita untuk melakukan muhasabah diri, maka begitulah juga penarikan balik anugerah yang sepatutnya memerlukan kita turut berbuat demikian.-HARAKAHDAILY 7/2/2018

DR KAMARUL ZAMAN YUSOF