Dakwa ada pihak ‘lobi’ penarikan Darjah Kebesaran

LAPORAN berita akhbar The Star yang ditulis oleh Sira Habibu semalam, 8 Februari 2018, bertajuk “PAS-Led State Govt Lobbied For Titles To Be Revoked, Claims PAN” (Terjemahannya: “Kerajaan Negeri Kelantan Yang Diketuai Oleh PAS Melobi Supaya Darjah-Darjah Kebesaran Ditarik Balik, Dakwa PAN”) adalah dirujuk.

Advertisement

Di dalam laporan ini ada terkandung tiga perenggan berikut: “PAN believes that the PAS-led state government lobbied for the revocation of the Datukship titles bestowed upon its leaders. This is because Kelantan State Secretary Datuk Mohd Faudzi Che Mamat wrote in the letters addressed to the affected parties that Sultan Muhammad V had “agreed” (bersetuju) to revoke the awards and titles. PAN leaders believe that the word “agreed” could be construed as agreeing to a proposal made by another party.” (Terjemahannya: “PAN percaya bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh PAS melobi supaya darjah-darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada pemimpin-pemimpinnya ditarik balik. Ini kerana Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat menulis di dalam surat-surat yang dialamatkan kepada pihak-pihak terbabit bahawa Sultan Muhammad V bersetuju untuk menarik balik darjah-darjah kebesaran dan gelaran-gelaran itu. Pemimpin-pemimpin PAN percaya bahawa perkataan “bersetuju” boleh membawa maksud bersetuju kepada satu cadangan yang dibuat oleh pihak lain.”)

Sebenarnya, adalah menjadi adat pihak istana untuk menggunakan perkataan beradab seperti “berkenan” atau “bersetuju” bila ahli-ahli keluarga diraja, termasuk Sultan, mahu melakukan sesuatu perkara walaupun perkara itu lahir dari kemahuan ahli-ahli keluarga diraja itu sendiri. Pemimpin-pemimpin PAN seharusnya lebih peka dengan penggunaan bahasa istana, atau merujuk kepada pihak-pihak yang lebih arif mengenainya, sebelum membuat dakwaan semberono bahawa penggunaan perkataan “bersetuju” untuk menarik balik darjah-darjah kebesaran dan gelaran-gelaran kepada pemimpin-pemimpinnya membawa maksud penarikan balik itu adalah berpunca daripada satu cadangan yang dibuat oleh pihak lain.

Dakwaan sebegini tidak sewajarnya dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAN mahupun oleh mana-mana pihak lain kerana ia seolah-olah cuba memperlekehkan keupayaan Sultan Muhammad V untuk membuat pertimbangan sendiri dalam soal penting seperti penarikan balik darjah-darjah kebesaran dan gelaran-gelaran ini sedangkan ia adalah kuasa prerogatif Sultan Muhammad V yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.-HARAKAHDAILY 9/2/2018