PASTI Sandakan adakan pemeriksaan gigi

SANDAKAN : PASTI Kawasan Sandakan telah mengadakan pemeriksaan pergigian dengan kerjasama Klinik Pergigian Sandakan kepada pelajar di PASTI Saidina Umar Al-Khattab, Taman Indah Jaya, di sini sejak Selasa dan berakhir kelmarin.
 
Turut diadakan ialah taklimat penjagaan gigi yang juga dilaksanakan di PASTI Taman Po Hing, Taman Damai, Kampung Tinosa 2, Taman Grandview dan beberapa lagi.
 
Pengerusi PASTI kawasan Sandakan, Heryanto Ladatih berkata, pemeriksaan gigi ini merupakan salah satu aktiviti tahunan PASTI yang bertujuan untuk memupuk kesedaran pelajar.
 
Jelasnya, dengan kerjasama pihak klinik, pelajar didedahkan kepentingan penjagaan kesihatan gigi dan mulut khususnya sejak dari usia muda.
 
“Fokus aktiviti ini adalah lebih kepada penjagaan gigi pelajar. Mereka diajar teknik membersihkan gigi dengan betul oleh kakitangan Klinik Pergigian Sandakan,” terangnya.
 
Tambahnya lagi, kakitangan Klinik Pergigian Sandakan juga menghargai jemputan pihak PASTI untuk merekamemberi ilmu pergigian, sekali gus membuat pemeriksaan gigi percuma kepada semua pelajar. 
 
Mereka juga berharap agar PASTI dapat meneruskan aktiviti sebegini bagi mendidik kanak-kanak mengenai penjagaan gigi dengan lebih baik. -HARAKAHDAILY 9/2/2018
Advertisement