Balik mengundi, lebih terjamin

MARANG: Para pengundi yang berada di luar negara disyorkan pulang ke kampung dan mengundi secara ‘manual’ serta tidak perlu mengundi melalui pos.
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ia kerana sistem pengundian tersebut tidak adil dan tidak selamat.
 
Beliau berkata, pengalaman pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) membuktikan undi secara pos, tidak menyebelahi PAS.
 
“Sememangnya ada sistem dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan mereka untuk undi pos di ‘safara’ ataupun kedutaan (luar) negara masing-masing,
 
“Tetapi yang menjadi masalahnya undi pos ini memakan masa hanya tiga hari sahaja untuk diproses dan dibawa balik ke tempat di mana mereka mengundi di seluruh negara,” jelasnya kelmarin.
 
Menurutnya, untuk undi tentera yang mengundi di kem pun PAS hanya mendapat sekitar dalam lima hingga 10 peratus sahaja undi.
 
Tetapi katanya, bagi undi pos tentera atau polis yang tiada di tempat mereka bertugas, biasanya PAS tidak mendapat undi yang banyak dan pernah tidak mendapat apa-apa.
 
“Suatu perkara yang tidak munasabah, jadi maknanya undi ini tidak sampai tapi dia diundi oleh pihak yang lain.
 
“Begitu juga apabila kita berada di luar negara, apabila kita mengundi di luar, adakah kita yakin undi ni akan sampai?
 
“Contohnya kita duduk di Pendang, Kuala Lumpur, di Johor ataupun di Perak undi kita yang sampai dan saya bimbang yang sampai adalah undi yang lain,” soalnya lagi.
 
Justeru itu, Adun Alor Limbat itu mengesyorkan supaya para pengundi yang berada di luar negara agar pulang untuk mengundi.
 
Katanya, ia lebih selamat walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.
 
“Mestilah berkorban untuk balik mengundi, dan kali ini adalah PRU yang sangat penting untuk negara kita khususnya PAS.
 
“Jadi ini kebimbangan saya dan sebab itulah penyokong PAS mesti balik walau dengan apa cara dan berapa nilai sekalipun.
 
“Serta di mana (mereka) berada (sekali pun) harus pulang dan tidak mengundi sebagai pengundi pos,” serunya. -HARAKAHDAILY 10/2/2018
Advertisement