Hentikan khidmat Doula tidak berwibawa

KAMI merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh MedicalMythBustersMalaysia (M3) berkaitan kematian bayi yang telah lahir secara songsang di rumah di negeri Johor baru-baru ini. Sebagai sebuah NGO yang bermatlamatkan kebajikan kesihatan negara, kami terpanggil untuk menyatakan sokongan PAPISMA terhadap kenyataan M3.

Advertisement

Kami berpandangan bahawa kehadiran Doula sewaktu proses kelahiran di Malaysia boleh menimbulkan masalah. Doula sebenarnya peneman kepada ibu yang sedang bertarung antara hidup dan mati sewaktu proses kelahiran. Kehadiran doula diharapkan boleh membantu ibu bersalin dengan tenang. Tetapi, daripada pemerhatian kami, peranan Doula di Malaysia ini telah melampaui batas sebagai peneman. Mereka seolah-oleh mengambil alih peranan menjadi pakar perbidanan, doktor, jururawat dan bidan yang memberi nasihat dan menguruskan proses kelahiran. Khidmat nasihat yang mereka berikan, samada berada di sisi pesakit atau melalui aplikasi WhatsApp, telah membahayakan kesihatan dan nyawa ibu dan juga anak, terutamanya dalam kes-kes yang berisiko tinggi.

Doula juga menganjurkan kelahiran di rumah tanpa kehadiran ahli yang terlatih. Ini adalah satu kaedah proses kelahiran yang tidak selamat. Sudah banyak kes yang berakhir dengan kematian dan komplikasi teruk semasa proses bersalin tidak selamat yang dianjurkan oleh mereka ini. Dengan apa sahaja nama yang mereka berikan bagi meng’halal’kan kaedah tersebut, sebenarnya mereka menafikan kaedah yang sedia ada di premis kesihatan bertauliah samada kerajaan ataupun swasta.

Sekali lagi ingin kami tegaskan, kelahiran selamat adalah kelahiran yang diuruskan oleh individu berkemahiran dan berpengalaman dalam menguruskan kelahiran. Jika individu tersebut hanya berpengetahuan tinggi secara teori semata, masih tidak boleh mengisytiharkan mahir dalam hal ehwal kelahiran. Malah jika sekiranya individu tersebut doktor sekalipun, tetapi tidak berkemahiran dalam proses kelahiran, ia tetap mempunyai risiko. Berdasarkan definisi daripada World Health Organization (WHO), “kelahiran selamat” (safe delivery) ialah kelahiran yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih (skilled health personnel). Malaysia telah mencapai peratus kelahiran selamat sebanyak 98 peratus semenjak tahun 2009 iaitu pencapaian yang setanding dengan negara maju. Peratus kelahiran di rumah didapati menurun daripada 24.8 peratus pada tahun 1990 kepada 1.7 peratus pada tahun 2012.

Di Malaysia, selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang terlatih di dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran. Ini termaktub di dalam Seksyen 14(1) Akta Perbidanan 1966 yang menyatakan: “Any person who, not being a midwife registered under this Act, practices midwifery, shall be guilty of an offence and shall be liable on conviction to a fine not exceeding two thousand ringgit or to imprisonment for a period not exceeding one year or to both.”

Kajian jelas menunjukkan kelahiran di rumah atau tidak disambut oleh anggota yang berkemahiran, mempunyai risiko tinggi kematian bayi. Terdapat 12 kajian yang membuktikan kelahiran di hospital oleh anggota yang mahir penting demi keselamatan ibu dan anak. Manakala tiga kajian lain pula yang seolah-olah menyokong kelahiran di rumah dan menyamakan hasil seperti kelahiran di hospital, adalah dengan syarat bahawa kelahiran di rumah tersebut mestilah di bawah seliaan rapi oleh anggota perbidanan yang terlatih.

Kami ingin menyeru pihak berwajib mengambil tindakan tegas kepada pihak-pihak tertentu yang dengan senghaja menghasut ibubapa untuk bersalin secara lotus dan pengamalan tertentu tanpa pengawasan rapi daripada doktor pakar perbidanan bertauliah. Antara amalan yang tidak patut diamalkan oleh mereka adalah seperti melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak mengeluarkan uri dalam tempoh masa yang segera dan tidak memberi imunisasi kepada bayi yang baru dilahirkan.

Kami juga ingin mencadangkan kepada pihak bertanggung jawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, agar mengambil inisiatif mempertingkatkan pendekatan dan aktiviti pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat untuk memastikan tahap tinggi kesihatan ibu dan anak di Malaysia dapat terus dipertingkatkan. PAPISMA sebagai sebuah NGO Kesihatan bersedia untuk berperanan sebagai pemangkin dalam memastikan hasrat ini tercapai. Kami juga menggesa satu garis panduan khusus diwujudkan bagi memberi panduan kepada doula supaya tidak mengambil alih peranan profesional perubatan untuk menjalankan tugas mereka.

PAPISMA menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengenai kelahiran tidak selamat dalam kolam. Kejadian yang berlaku seumpama ini perlu dipantau dan diambil tindakan tegas jika melanggari syarat-syarat yang ditetapkan.

DATO’ DR SUHAINI KADIMAN
Presiden
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia
10.2.2018- HARAKAHDAILY 10/2/2018