ARC dan JAM bantu jayakan merentas desa

PAYA BESAR: Alternative Riding Club (ARC) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Paya Besar telah turut serta menjayakan acara sukan tahunan merentas desa Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin (SKBR) di sini, semalam.

Advertisement

Seramai lapan Marshall ARC dan Kor Medik JAM telah membantu pihak sekolah menguruskan kawalan lalu lintas, keselamatan dan persediaan perubatan bagi 250 pelajar tahun 4, 5 dan 6 sekolah tersebut.

Komandan JAM Paya Besar, Khairul Akmal Aersid berkata, pihaknya bersama ARC sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan sukarela mereka kepada semua pihak yang memerlukan.

Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum SKBR, Ahmad Salleh berkata ARC dan JAM adalah antara NGO yang memberikan khidmat terbaik antara NGO-NGO selainnya.

Atas penghargaan pihak sekolah terhadap memberikan kerjasama itu, ARC dan JAM telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Guru besar SKBR, Saudi Jamil.

Penglibatan sukarela entiti tersebut dalam hal ehwal awam merupakan satu pengiktirafan oleh masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan. – HARAKAHDAILY 11/2/2018