Cara PAS urus kewangan mensejahterakan

KUALA  NERUS: Islam akan menjadi dasar pemerintahan negeri Terengganu sekiranya PAS diberi semula mandat pada PRU14 nanti, demikian dinyata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
Antaranya jelas beliau, PAS menawarkan pengurusan dan perbelanjaan negara dengan cara berhemah yang tidak mampu diberikan oleh Kerajaan Umno-BN sekarang.
 
“Kaedah Islam menyatakan bab percukaian  diambil daripada orang kaya diagih kepada orang miskin. Tetapi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ambil daripada orang kaya dan juga orang miskin serta kedua-duanya diagihkan kepada siapa?
 
“Dan disitulah kita menegaskan bahawa GST bercanggah dengan kaedah Islam,” terang beliau semasa merasmikan Markaz Unit Peti Undi (UPU)  Pak Katak, kelmarin.
 
Menurutnya, PAS menegaskan prinsip Islam alam pengurusan kewangan bukan hanya pada cara mendapatkannya, tetapi juga kaedah perbelanjaan yang bijak.
 
Bentangnya, perbelanjaan berhemah antara kunci pengurusan kewangan di mana tiada negara yang berjaya jika pengurusan kewangan boros dan tiris.
 
“Kajian yang dibuat menunjukkan kepada kita berdasarkan Laporan Audit Negara bahawa kebocoran dan ketirisan perbelanjaan kerajaan persekutuan antara RM25 bilion hingga RM40 bilion.
 
“Kalau yang bocor tadi RM25 hingga RM40 bilion ditangani kebocorannya, (maka) apalagi perlu cukai GST RM44 bilion?
 
“Makna persoalan cukai GST yang ada sekarang RM44 bilion untuk tampung ketirisan, dan jika biarkan tidak tiris, maka tidak perlulah GST dikutip daripada rakyat,” ujar beliau.
 
Tambah Khairuddin lagi, PAS menawarkan kepada rakyat pengurusan kewangan yang telus, berhemah dan tidak boros serta tidak cagarkan kepada rakyat.
 
Terangnya, rekod PAS pada tahun 1999 hingga 2004 berjaya menguruskan negeri secara berhemah, walaupun ketika itu Kerajaan Persekutuan dipimpin Dr Mahathir Mohamad menarik pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Terengganu.
 
“(Malah) PAS menawarkan pinjaman kepada rakyat menggunakan kaedah pinjaman tanpa faedah tanpa sebarang untung untuk rakyat bagi membina kediaman mereka.
 
“Kerajaan Persekutuan akan mengenakan cas sehingga 4 peratus bagi yang membuat pinjaman perumahan, tetapi PAS menggunakan kaedah Islam untuk keperluan rakyat tanpa dikenakan apa-apa caj,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/2/2018
Advertisement