Bukan benci, tapi Umno gagal daulat syariah

BESUT: Pertembungan PAS dengan Umno-BN selama ini bukanlah kerana membenci batang tubuh mereka, tetapi kerana parti itu tidak mengendalikan rakyat untuk dibawa kepada Allah.

Advertisement

Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Adam Said berkata, kerana kegagalan Umno-BN itulah maka PAS mahu mengambil alih tanggungjawab dan urusan pemerintahan dari parti tersebut.

“Kita lihat pada hari ini tugas utama kerajaan wajib ia bawa rakyat yang beragama Islam untuk kenal agama.

“Kalau kita sebagai ayah maka kewajipan kita terhadap anak yang menjadi rakyat dalam rumah kita ialah wajib perkenalkan kepada anak-anak siapa itu Allah dan urusan dalam agama tanpa bertangguh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Pelancaran Markaz Unit Peti Undi (UPU) Padang Landak, di sini kelmarin.

Menurutnya, menjadi satu kewajipan juga bagi kerajaan menyediakan prasarana tempat-tempat yang boleh menjadi sumber ilmu.

“Hari ini kita tengok tak banyak dan kalau ada sekalipun dianaktirikan. Kerajaan Umno-BN tak cuba nak tolong sekolah agama kerana bagi mereka ini mungkin menyusahkan hidup kita,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi pengalaman berkenaan penipuan oleh Umno-BN dalam pilihan raya yang dapat dikenalpasti oleh peranan petugas ‘Polling Agent and Counting Agent (PACA).

Selain turut meluahkan kekesalan terhadap tekanan dihadapi rakyat berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan banyak barangan berharga mahal.-HARAKAHDAILY 12/2/2018