Muslimat PAS mesti jadi ikon dalam masyarakatnya

SEPANGGAR: Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu menyeru penonjolan ikon-ikon Muslimat untuk memberikan satu keyakinan dan pengaruh khususnya kepada pengundi-pengundi wanita muda di Sabah.

Advertisement

Jelasnya, menerusi cara demikian dapat menarik mereka untuk menyokong dan mengundi PAS kelak.

Katanya, keseluruhan petugas Muslimat PAS di negeri Sabah adalah dalam kalangan muslimat muda berumur 40 tahun ke bawah dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Petugas-petugas ini menurutnya, subur dengan idea-idea segar, tenaga yang kuat dan akses kepada maklumat dengan mudah dan cepat.

“Secara tidak langsung, dengan adanya ikon-ikon muslimat ini, ia dapat mencantas pandangan masyarakat kepada muslimat PAS yang dikatakan kurang memberikan fungsi kepada jentera parti.

“Sudah tiba masanya untuk Muslimat menonjolkan diri. Cukuplah dengan stigma ‘belakang tabir’ yang sudah menjadi kebiasaan buat Muslimat PAS.

“Muslimat perlu diberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam diri mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar PAS.

“Jangan hanya sekadar memberikan tugasan pendaftaran, penerbitan dan menguruskan makanan kepada Muslimat,” tegas beliau.

Perkara itu dilontarkannya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar Kali Ke-6 di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, di sini petang kelmarin.

Beliau menambah, bagi merealisasikan harapan tersebut, sebuah pasukan perlu diwujudkan untuk pembinaan imej dan keyakinan diri, selain pimpinan-pimpinan PAS kawasan perlu memberikan sokongan kepada para ikon ini

Iaitu antaranya terang Norsah, adalah dengan memberikan tugas dan amanah dalam gerak kerja PAS.-HARAKAHDAILY 12/2/2018