PAS rakam takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Paya Besar

PAYA BESAR: Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, ahli yang meninggal dunia petang semalam.

Advertisement

Allahyarham disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.45 petang selepas terjatuh ketika mengambil wuduk, dipercayai akibat serangan jantung di kediaman beliau di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Ustaz Tarmizi menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat lemah lembut dan komited dalam tugasannya sehingga dilantik menjadi Pengerusi MyIPO dan Felcra Berhad.

“Saya mewakili seluruh ahli PAS Kawasan Paya Besar, mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham, semoga Allah merahmati dan menempatkan beliau bersama orang-orang yang beriman.

“PAS Kawasan Paya Besar begitu terasa akan kehilangan seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat di Paya Besar khususnya,” ujar beliau.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang melalui Ketuanya, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok berkata, negara dan rakyat negeri Pahang khususnya amat terasa akan kehilangan seorang pemimpin sangat komited dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya mewakili DPPNP dan seluruh Pemuda PAS mendoakan semoga Allahyarham dirahmati Allah. Semoga dikurniakan kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga, kaum kerabat dan saudara maranya, kata beliau.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Manan yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar, menang dengan majoriti 7,715 undi.

Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat. –HARAKAHDAILY 13/2/2018