Hentikan perhambaan moden terhadap pembantu rumah

ISU kematian pembantu rumah dari Indonesia yang meninggal dunia kerana didakwa didera majikannya perlu menjadi perhatian utama kita semua kerana ia melibatkan isu kemanusiaan dan sikap kejam majikan tidak bertanggungjawab. Bahkan isu penderaan pembantu rumah dari Indonesia boleh mengeruhkan hubungan antara dua negara jiran, Malaysia dan Indonesia. 

Advertisement

Mangsa yang dikenali sebagai Adelina berusia 21 tahun dikesan dengan cedera di tangan dan kakinya serta sering tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler setiap hari hampir dua bulan lamanya. Jirannya pula sering mendengar jeritan yang menjadi kebiasaan selang sehari.

Kes ini tidak boleh dianggap sebagai terpencil kerana ia melibatkan kes jenayah dan nilai kemanusiaan umumnya. Apa yang dikesalkan adalah mengapa sebegitu teruk layanan yang diberikan kepada pembantu rumah itu sehingga dibiarkan tidur dengan seekor anjing. 

Di mana naluri dan perasaan kasihan belas terhadap pembantu rumah yang setiap hari bekerja di rumah majikan dengan menyediakan segala kelengkapan tetapi dilayan seumpama haiwan.

Lebih dari itu, mengapa mangsa dibiarkan tidur dengan anjing sedangkan jika dia beragama Islam, haram hukumnya mangsa menyentuh anjing, apatah lagi tidur bersebelahan dengan anjing. Jika dia bukan seorang Islam sekalipun, dia tidak layak diberikan layanan sebegitu. 

Jika mangsa ada melakukan kesalahan, sebaiknya majikan perlu menghantar beliau pulang ke Indonesia lebih awal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. 

Jika beliau sakit, majikan sepatutnya bertanggungjawab menghantarnya ke hospital atau memberikan rawatan sebaiknya. Membiarkan dirinya dalam keadaan begitu adalah suatu tindakan kejam.

Kes penderaan terhadap pembantu rumah bukan baru sekali dikesan. Ia telah berlarutan bertahun lamanya. Majikan kejam suka menjadikan pembantu rumah umpama “hamba zaman moden” dengan dipaksa melakukan pelbagai kerja yang di luar kemampuan dan tugasan, dan dipukul atau didera jika tidak mengikut arahan atau kehendak majikannya. 

Malah, ada pembantu rumah yang dikurung, diikat, dicabul, dirogol, sehingga sampai tahap dibunuh. Kejadian ini menimbulkan trauma kepada pembantu rumah yang lain.

Apa yang dibimbangkan adalah ia menjadi penyebab kepada kes pembantu rumah melarikan diri serta membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia di negara ini dan boleh mengundang kepada pelbagai kejadian jenayah yang lain.

Tindakan perlu dilakukan bagi membendung gejala ini. Bagi pembantu rumah beragama Islam, sebaiknya mereka tidak dihantar bekerja dengan majikan bukan Islam. Kerana dibimbangi mereka dipaksa melakukan perbuatan yang haram termasuk mengurus anjing, memasak dan menyediakan hidangan babi, dilarang menunaikan solat, dipaksa membuka aurat dan lain-lain perkara. 

Selain itu, majikan perlu lalui proses yang ketat dan rumit agar mereka yang benar-benar layak mendapat pembantu rumah. Pemantauan perlu dibuat dari masa ke semasa oleh pihak yang berkenaan agar majikan mengerti pembantu rumah di rumahnya itu juga manusia yang perlu dilayan sebaiknya, dan bukannya robot yang boleh diperlakukan sesuka hati mereka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.- HARAKAHDAILY 14/2/2018