Patuh pandangan mufti, jangan rosakkan undi

DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) bersetuju dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyatakan bahawa haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum ke 14 (PRU 14). Pandangan Mufti WP amat tepat ketika kempen “UndiRosak”, “SpoiltVote” dan “ProtesPRU” sedang hangat dijayakan di media sosial oleh segelintir pihak yang kecewa dengan suasana politik negara.

Advertisement

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah mengeluarkan kenyataan dan pandangan bahawa haram hukumnya bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah mereka yang telah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Nampaknya, kalangan ulamak dan Mufti sendiri sependapat dengan pandangan Presiden PAS menunjukkan hukumnya yang jelas dan penting sebagai panduan kepada semua pengundi beragama Islam.

DUPWP melihat kempen atau tindakan merosakkan undi ini adalah satu kempen negatif yang ditaja oleh mereka yang mahu memusnahkan negara ini. Dengan merosakkan undi, pengundi telah mensia-siakan peluang bagi menentukan proses kepimpinan negara. Justeru, pengundi tidak boleh berlepas tangan dengan mengambil sikap tidak bertanggung jawab daripada menunaikan hak mereka mengundi atau merosakkan undi mereka hanya semata-mata kerana marah dengan pihak tertentu.

Mengundi ibarat membuat referendum terhadap parti politik dan pemimpin negara. Dengan mengundi, pengundi telah memberi nasihat, menegur dan melakukan perbuatan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ terhadap pemerintah yang didapati melakukan kesalahan. Begitu juga dengan mengundi, pengundi telah memberi hak untuk menyokong, membantu dan menaikkan pemimpin yang berhak atau layak untuk menjadi pemimpin. Bagi umat Islam, ia ada pertimbangan dosa dan pahala serta akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Dengan mengundi, pengundi telah menunaikan hak dan kewajipan mereka terhadap agama, masyarakat dan negara ini.

Selain itu, Mufti WP turut menyatakan haram dari segi syarak jika tidak mengundi serta tidak mendaftaran diri sebagai pengundi. Data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menunjukkan seramai 3.6 juta warganegara yang berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih sehingga suku ketiga tahun lalu. Dengan pandangan Mufti WP itu, adalah diharapkan umat Islam yang telah layak mengundi dan belum mendaftar diri sebagai pengundi agar dapat mendaftarkan diri mereka sesegera mungkin.

DUPWP mengharapkan agar lebih ramai para mufti dan ulamak tampil ke hadapan memberi pandangan dan pendirian agar rakyat Malaysia segera mendaftar diri sebagai pengundi dan seterusnya menunaikan kewajipan untuk mengundi kerana itu adalah hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang perlu mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. Kita mahu keputusan PRU ke 14 nanti ditentukan oleh pengundi kerana merekalah yang berhak dan layak bukan didorong oleh sentimen pihak luar yang mahu merosakkan sistem pilihan raya di negara yang tercinta ini.

USTAZ DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 14/2/2018