Warga emas Chan terima Ziarah Kasih PAS

SETIAWANGSA: PAS Kawasan Setiawangsa bersama Dewan Pemuda PAS Setiawangsa telah mengadakan program Ziarah Kasih ke Rumah Kebajikan Warga Emas Chan, Ayer Panas, Setapak, di sini kelmarin.
 
Program agihan barangan keperluan dan pemberian khas itu adalah sempena menjelangnya perayaan Tahun Baharu Cina pada Jumaat ini.
 
Antara lain program tersebut bertujuan mewujudkan kemesraan PAS kepada kaum Tionghua terutama menyantuni warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang sesuai dengan tuntutan dalam agama.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ustaz Ubaid Abd Akla, perhatian kepada warga emas yang terabai dan tidak mendapat bantuan kerajaan itu merupakan salah satu aktiviti kebajikan PAS Setiawangsa.
 
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berkata, selain itu program tersebut mahu mewujudkan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum.
 
“Harapan kami, kunjungan ini dapat menggembirakan warga emas kaum Tionghua yang juga sudah uzur, selain membantu mengurangkan beban tanggungan kesusahan pengusaha rumah kebajikan ini,” ujar beliau.-HARAKAHDAILY 15/2/2018
Advertisement