Mangsa banjir Kg Mang syukur diringan beban

SAMARAHAN: PAS Kawasan Kota Samarahan telah mengadakan serahan bantuan barang keperluan asas untuk penduduk yang terjejas banjir di Kampung Mang, di sini kelmarin.
 
Sumbangan itu merupakan bantuan daripada para dermawan yang diperolehi melalui kutipan dibuat oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak.
 
Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin dalam seruannya mengajak para penduduk merenungi kekuasaan Allah yang mendatangkan ujian banjir itu dan Dia jugalah Pemberi rezeki, di mana pihak beliau hanya menjadi penyampai.
 
“Apa yang kita buat hari ini dah banyak kali antaranya Kampung Muhibbah, Santubong, Tatau dan juga di Bintulu. Kita bantu yang beragama Islam dan bukan Islam. 
 
“Politik kami menjaga kebajikan kerana kita nak supaya masyarakat mendapat kebajikan daripada politik,” terangnya.
 
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Sarawak, Zharudin Narudin berkata, pemberian kecil itu tidak membaiki keadaan rumah yang ditimpa musibah, tetapi setidaknya mengurangkan beban dialami.
 
Beliau mengajak penduduk redha dengan ujian itu kerana musibah pasti menimpa sesiapa sahaja di mana paling penting adalah merenung dengan penuh keinsafan.
 
Melalui usaha ini turut menjadi kesempatan buat petugas PAS Kota Samarahan menyampaikan mesej bahawa PAS bukan hanya terlibat dengan politik, malah merangkumi kebajikan, pendidikan, ekonomi dan lain-lain. 
 
Malah PAS Negeri Sarawak turut terlibat dalam memberi bantuan kepada kawasan-kawasan lain yang terjejas banjir sama ada melibatkan Muslim ataupun bukan Muslim.
 
Turut serta menjayakan program itu adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Zulkipli Ramzi. – HARAKAHDAILY 15/2/2018
Advertisement