NGO-NGO bantah delegasi Israel di Malaysia

KAMI menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kedatangan pegawai diplomatik Israel baru-baru ini ke Malaysia sebagai peserta dalam persidangan PBB-WUF 9 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Advertisement

Ini adalah bercanggah dengan pendirian pro-Palestin yang jelas yang dibawa oleh kerajaan Malaysia secara konsisten di dalam mana-mana forum antarabangsa. Kedatangan delegasi berpangkat tinggi dengan kelulusan visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk masuk ke Malaysia adalah mengejutkan dan amat dikesali. Lawatan yang pertama ini diketuai oleh pegawai diplomatik David Roet, yang telah berkhidmat sebagai timbalan duta Israel ke PBB.

Sekiranya Malaysia didesak untuk menerima kedatangan delegasi Israel, memandangkan pengeluaran visa kepada semua delegasi luar adalah keperluan dalam mengadakan forum antarabangsa, kerajaan Malaysia seharusnya menolak untuk menjadi tuan rumah atau sekurang-kurangnya menguar-uarkannya kepada orang ramai dan bersedia untuk menerima maklum balas.

Terdapat kempen BDS di peringkat global yang kuat memboikot Israel di setiap peringkat atas tindakan jenayah dan pelanggaran  undang-undang oleh negara Yahudi itu. Malaysia sepatutnya mencerminkan komitmennya yang tegas dan tetap utuh dengan penolakannya untuk membenarkan mana-mana rakyat Israel menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

Lebih teruk lagi apabila diketahui bahawa Roet juga bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia. Mengalu-alukan mereka adalah pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Perkara ini bagi kami mencerminkan percubaan untuk mewujudkan dasar normalisasi dengan Malaysia oleh Israel. Roet menyatakan melalui akaun Twitter miliknya “Saya mempunyai harapan besar untuk hubungan baik antara kedua-dua negara pada masa akan datang.”

Kini terdapat pendedahan data rasmi yang diterbitkan pada tahun 2014 oleh Pusat Biro Statistik Israel (CBS) yang membuktikan wujudnya perhubungan perdagangan yang berkembang pesat, tetapi sangat sulit, berjumlah $ 1.5 billion setahun.

Roet menyatakan bahawa beliau berharap untuk hubungan baik antara Malaysia dan Israel di samping menambah bahawa dia telah menemui banyak persamaan antara kedua-dua negara.

Kami menyeru kerajaan Malaysia supaya tegas dan teguh dengan pendiriannya terhadap Israel sebagai sebuah negara haram. Pendirian rakyat Malaysia yang mengutuk Israel atas tindakannya melanggar undang-undang antarabangsa sepatutnya dinyatakan secara jelas oleh kerajaan Malaysia dengan menafikan kemasukan delegasi Israel.

Perhimpunan baru-baru ini yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, pusat pentadbiran, sebagai symbol solidarity bersama rakyat Palestin kini akan dianggap sebagai retorik kosong dan hubungan bukan diplomatik Malaysia dengan rejim Apartheid Israel akan dilihat sebagai palsu.

Kami menuntut agar hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel dibatalkan dengan serta-merta sekiranya tidak Malaysia dilihat sebagai melaksanakan dasar hipokritik antara Israel dan Palestin.

Kami menggesa agar kerajaan Malaysia mengetuai komuniti OIC dan Asean untuk menentang kekejaman oleh kerajaan Israel dan tidak berkompromi dengan sebarang usaha normalisasi yang cuba diwujudkan oleh Israel.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Timbalan Pengerusi
Sekretariat Palestin-Malaysia- HARAKAHDAILY 15/2/2018