Penduduk disaran maksimumkan saluran kerajaan

SAMARAHAN: PAS Kawasan Kota Samarahan menyarankan penduduk agar memanfaatkan penggunaan saluran Tali Khidmat yang telah disediakan kerajaan untuk membuat aduan secara terus.
 
Khidmat tersebut bagi menggerakkan pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap aduan yang dibuat oleh rakyat terutamanya melibatkan keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik. 
 
Ketiadaan bekalan air antara situasi yang kerap berlaku kepada semua penduduk sejak penempatan dibuka di Kampung Mang, di sini.
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Zharudin Narudin berkongsi pengalamannya di Kampung Nyalau, Bintulu yang pernah memanfaatkan sistem tersebut hingga mendapat banyak manfaat.
 
“Dalam jabatan kerajaan ada sistem Tali Khidmat dan sudah berjaya. Di Kampung Nyalau ada kawasan yang tidak ada jalan. 
 
Sia (Di sana) pun ada kawasan tidak ada air dan elektrik. Setelah membuat aduan di saluran tali khidmat berkali-kali, akhirnya, kamek (saya) mewakili penduduk sia, sama land survey turun sekali. 
 
“Jalannya sekarang sudah siap bertar penghujung tahun 2016. Siapa yang untung? Kamek hanya bertugas sahaja,” ujarnya yang juga bekas calon PAS Dun Samalaju. 
 
Sementara itu menurut Yang DiPertua PAS Kota Samarahan, Zulkipli Ramzi, pihaknya akan membantu selagi termampu dan akan sentiasa menyuarakan permasalahan penduduk kepada pihak sewajarnya.
 
“Kami dari PAS Kota Samarahan akan bantu selama mana yang mampu. PAS akan mengembak (membawa) suara ya supaya kelak ada wakil di zon dan parlimen yang ngembak suara ke jabatan-jabatan kerajaan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2018
Advertisement