Naikkan pendapatan agar mampu membeli rumah

ISU harga rumah yang mahal dan di luar kemampuan rakyat membeli amat penting menjadi penilaian mengenai kedudukan semasa rakyat Malaysia. Ia boleh menjadi kayu pengukur adakah benar rakyat Malaysia sedang dalam keadaan selesa dengan berbelanja mewah atau sedang menderita kepayahan dengan keadaan yang berlaku hari ini.

Advertisement

Data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rumah di negara ini “tidak mampu dibeli” pada 2016 oleh standard antarabangsa boleh menjadi penanda aras penting. Menurut BNM, antara faktor kemampuan membeli rumah disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan. BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan. Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.00

Data yang dikemukakan ini dengan mudah faham menyatakan bahawa harga rumah yang tersedia tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah. Kerana itu, rakyat tidak mampu membeli rumah. Dalam keadan begitu, rakyat pula terpaksa menanggung beban kos hidup yang semakin meningkat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga barangan yang naik setiap masa. Mereka terpaksa berjimat cermat, mengikat perut, dan hanya membeli barangan keperluan sahaja. Soal membeli rumah adalah perkara sampingan yang akan dilakukan oleh golongan yang berkemampuan sahaja.

Oleh itu pandangan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin bahawa pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit adalah relevan dan perlu diambil perhatian sewajarnya. Ia berkait rapat soal ekonomi dan kadar kemampuan rakyat dalam membeli keperluan hidup mereka. Jika dalam soal keperluan harian pun rakyat mengikat perut, tidak mungkin rakyat mampu berbelanja besar membeli rumah, kenderaan dan bercuti di luar negara.

Justeru, syor daripada BNM wajar dipertimbangkan sesegera mungkin bagi menangani masalah ketidak mampuan memiliki rumah yang sedang dialami. Antara lain syor BNM antara lain dengan mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan supaya rakyat lebih mampu memiliki rumah dengan mudah. Harga rumah mampu milik perlu disesuaikan mengikut kadar pendapatan rakyat, atau pendapatan rakyat dinaikkan sesuai dengan harga rumah semasa agar ia seimbang. Pendapatan rakyat yang statik atau naik amat perlahan amat tidak berpadanan dengan keadaan semasa di mana hampir semua harga barangan naik begitu drastik dan ketara. Rakyat semakin tertekan dan selepas ini entah apa pula data terbaru yang dikeluarkan membenarkan semua realiti yang dialami.

Apa yang ditimbulkan ini bukan untuk mencetuskan suasana cemas dan panik, tetapi sekadar membangkitkan realiti semasa dan usah menafikan keadaan ini. Kerana semakin banyak penafian yang dibuat, semakin banyak fakta yang muncul dan timbul, yang menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sedang dilanda krisis kewangan atau ekonomi yang serius. Jika tidak ditangani, ia boleh membangkitkan kemarahan dan kebangkitan rakyat. Perut rakyat yang lapar, boleh membahayakan pemimpin Umno yang sedang kenyang dan mewah, khususnya menjelang PRU ke-14 nanti.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/2/2018