Istiqamah ramai Assabiqun bukti PAS kuat

    JERAI: Kehadiran ramai ahli Assabiqun PAS Kawasan Jerai pada pelancaran rasmi Sidang itu sebenarnya menyerlahkan kekuatan teras PAS yang berakar kukuh dan sekian lama dalam Parlimen tersebut.
     
    Yang DiPertua PAS Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad menyifatkan ia bukti PAS memiliki aset kukuh di mana gandingan ‘orang lama’ yang istiqamah bersama sokongan semua lapisan dalam parti akan mewujudkan gerakan untuk memacu PAS lebih terkehadapan.
     
    Sekitar 200 ahli Sidang Assabiqun PAS Jerai hadir pada pelancaran yang dilangsungkan di Dewan Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Pejabat PAS Jerai, Padang Lumat, di sini semalam.
     
    Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi pula menyifatkan kehadiran ramai itu menunjukkan Assabiqun PAS Jerai kuat bersemangat dan istiqamah menghadirkan diri ke majlis jamaah.
     
    Pujinya, golongan Assabiqun selaku perintis jalan membina PAS penting dalam menjayakan tuntutan perjuangan parti itu untuk memenangi pilihan raya seterusnya menegakkan pemerintahan dengan dasar Islam.
     
    Menurut beliau, PAS juga tidak akan subur seperti sekarang jika tidak kerana jasa-jasa generasi Assabiqun terdahulu dan kini PAS terus memerlukan mereka sebagai pemangkin dalam parti untuk terus memperteguh perjuangan.
     
    Jelas Dr Fakhruddin, termasuk peranan boleh digerakkan Assabiqun adalah merungkai dakyah musuh PAS yang menggunakan api fitnah menyebar gambaran salah terhadap hakikat perjuangan Islam dibawa PAS.
     
    Semangat sama turut disuarakan Timbalan Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Negeri Kedah, Ustaz Nasir Othman yang merasakan seperti diberi suntikan baharu setelah sekian lama ‘bersara’ dari memegang jawatan dalam parti.
     
    Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Che Pi” juga merupakan Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Jerai mengakui tanggungjawab Assabiqun untuk terus berada di medan masyarakat memperkenalkan PAS.
     
    Kerana katanya, Assabiqun selaku tonggak asal, akar umbi dan penggiat terdahulu perlu aktif dalam urusan politik menjadi ‘sumber’ maklumat PAS kepada orang ramai dan penggiat agenda kebajikan dalaman menerusi lawatan ziarah. – HARAKAHDAILY 17/2/2018
    Advertisement