MTIS berjaya lahirkan graduan sulung KPKQ

TEMERLOH: Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang dan Konvokesyen Kursus Persijilan Kemahiran Al-Quran (KPKQ) Kali Pertama di Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah (KOMPAS), di sini hari ini.
 
Pada majlis itu, 36 graduan dewasa KPKQ pengambilan pertama 2017 telah dianugerahkan sijil tersebut setelah berjaya menamatkan kursus, selain anugerah kepada beberapa pelajar menengah MTIS.
 
Penyerahan sijil dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh tetamu jemputan khas dari Shubra, Mesir iaitu Pensyarah Maahad Qiraat Al-Azhar, Syeikh Muhammad Abd Nabi Al-Muqri.
 
Dalam ucapannya merasmikan majlis tersebut, beliau mengemuka pengertian hakiki istiqamah dan sifat sebenar individu yang mendambakan syafaat al-Quran di Hari Akhirat.
 
“Apa makna istiqamah? Istiqamah ialah dengan melaksana perintah Allah dan mengikut jejak langkah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
 
“Sifat mereka yang ingin mendapat syafaat Al-Quran di Akhirat ialah bertahajjud dan qiamullail ketika orang lain tidur. Berpuasa di siang hari ketika orang lain makan dan minum. 
 
“Menangis kerana takut kepada Allah ketika orang lain bergelak ketawa dan tidak berbual kosong ketika orang lain bersembang membuang masa,” ujarnya.
 
Beliau turut menegaskan bahawa itu juga merupakan bekalan kepada mereka yang ingin melaksanakan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan.
 
Turut hadir pada majlis ini ialah Penasihat MTIS, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok selaku yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang bersama Mudir MTIS, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih.
 
MTIS yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Pahang dan ditadbir menerusi Akademi Al-Istiqamah merupakan sebahagian entiti KOMPAS di atas tanah wakaf seluas 5.69 ekar.
 
Pembinaan KOMPAS dihasratkan oleh pewakafnya bagi tujuan pembangunan pendidikan di mana Akademi Al-Istiqamah gigih untuk menjadikannya mercu tanda pusat sehenti pendidikan di Temerloh.
 
Justeru, KOMPAS sangat memerlukan sokongan dan sumbangan orang ramai yang boleh dilakukan menerusi transaksi akaun Maybank 5560 5751 4858 atas nama Maahad Tahfiz Al Istiqamah.
 
Juga boleh menerusi akaun CIMB 86 025584 50 atas nama Akademi Al Istiqamah atau akaun Bank Rakyat 11 010 100246 6 juga atas nama Maahad Tahfiz Al Istiqamah.
 
Sebarang makluman dan pertanyaan serta keterangan lanjut boleh berhubung langsung dengan Ustaz Zarimi di talian 019-961 0849. – HARAKAHDAILY 17/2/2018
Advertisement