Agenda PAN “Memartabat dan Menegak Islam” hilang?

TERGELAK seketika saya bila membaca kenyataan media Presiden PAN, Mohamad Sabu, bertajuk “PAS Ambil Alih Tempat Umno?” hari ini, 18 Februari 2018.
 
Jelas sekali kenyataan media ini adalah maklum-balas Mohamad Sabu terhadap kritikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepada PAN di dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
 
Kata Mohamad Sabu di dalam kenyataan media ini, “bagi saya, kita bersama Pakatan Harapan (PH) akan bertanding mengikut kesesuaian dan cita-cita untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dalam pilihan raya yang akan datang”.
 
Ini kerana, kata beliau lagi, “kita mempunyai agenda besar untuk melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik demi negara dan rakyat”.
 
Seperti diketahui, antara enam “dasar dan tujuan PAN” yang digariskan di dalam Fasal 3 Perlembagaan PAN, terpenting daripadanya adalah untuk “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan” (Fasal 3(1)).
 
Malangnya, di dalam kenyataan media beliau ini, langsung tidak disebut walau sepatah pun agenda untuk “memartabat dan menegakkan Islam” di dalam senarai agenda besar PAN jika PH menguasai Putrajaya.
 
Kalau setakat “untuk melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik demi negara dan rakyat” sahaja, tidak perlulah wujud PAN kerana melalui DAP pun ia boleh dibuat.
 
Kalau agenda PAN sudah sama dengan agenda DAP, dan kalau agenda untuk “memartabat dan menegakkan Islam” tiada di dalam senarai agenda besar PAN, maka bagaimanakah agaknya umat Islam akan yakin untuk mengundi PAN? – HARAKAHDAILY 18/2/2018
Advertisement