Amilin adalah aset penting untuk menangkan PAS

SIK: Seluruh amilin PAS merupakan jentera Islam terbaik yang telah membuktikan keikhlasan bekerja dan berkorban walaupun tidak meraih sebarang ganjaran.

Advertisement

Sebaliknya selalu menghadapi durjana musuh setidak-tidaknya dengan hinaan dan cercaan, namun yakin menuai janji Allah di Akhirat dan mengejar pertemuan dengan-Nya di Syurga.

Demikian pujian Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria dalam ucapannya pada kemuncak Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Sik di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau, di sini semalam.

Nada sama disuarakan Yang DiPertua PAS Sik, Muhammad Sanusi Md Nor yang memuji ketaatan dan kepatuhan ahli PAS terhadap keputusan parti kerana wala’ kepada pimpinan.

Katanya, sikap itu menyebabkan ahli PAS menerima dengan rela hati pemilihan calon pilihan raya yang diperuntukkan Perlembagaan PAS berada dibawah bidang kuasa PAS Pusat.

Kerana itulah menurut beliau, jentera PAS terus bekerja pada setiap pilihan raya walaupun calon diumumkan itu bukan pilihan mereka, tidak sepertimana parti-parti lain yang selalu berkemelut soal calon.

Dalam ceramah itu juga turut dijawab fitnah kononnya PAS akan bergabung dengan Umno pada PRU14 nanti terutama berlegar di media sosial secara sebaran jahat.

“Di setiap kerusi yang Umno bertanding, di situ PAS turut akan meletakkan calon. Malah di Kedah ini juga, PAS akan bertanding semua 36 Dun dan 15 Parlimen.

“Malah, PAS turut mengumumkan akan bertanding di 130 Parlimen (seluruh negara). Jadi di mana rasionalnya PAS akan bergabung dengan Umno kalau semua kerusi juga PAS tandingi?” soal Razman. – HARAKAHDAILY 18/2/2018