Kenapa PAN terlalu obses dengan PAS?

MENJELANG berlangsungnya Konvensyen Nasional PAN pada 10-11 Disember 2016, portal berita Free  Malaysia  Today telah mengeluarkan, pada 7 Disember 2016, satu laporan yang memetik Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS, sebagai menasihatkan parti politik itu supaya mengurangkan serangan bukan sahaja kepada PAS, tetapi juga kepada BN jika ia benar-benar mahu mendapatkan sokongan daripada rakyat.
 
Kata Wan Saiful, yang turut dikongsi oleh Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), PAN perlu menunjukkan ia berbeza dari parti-parti politik lain dengan menawarkan penyelesaian sebenar kepada permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan menggariskan perubahan-perubahan yang ia akan bawa jika ia berada di dalam kerajaan, dan bukan hanya menjadi sebuah lagi parti politik yang hanya tahu komplen sahaja.
 
Begitu juga dengan arahan rasmi pimpinan tertingginya sendiri seperti yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir, kepada ahli dan penyokong parti politik itu di dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) pada 5 Februari 2017 yang berbunyi “maka saya mengarahkan hari ini kepada semua ahli dan penyokong PAN agar menghentikan segala kata-kata kesat terhadap parti lawan kita termasuk PAS”.
 
Bagaimanapun, nasihat dan arahan penganalisis politik mahupun pimpinan tertinggi PAN ini tetap tidak dihiraukan oleh bukan sahaja ahli dan penyokong parti politik itu, malah oleh pimpinannya sendiri, di mana saban waktu kita dapat menyaksikan serangan bertali arus dibuat oleh pimpinan PAN terhadap PAS mahupun BN tanpa menawarkan penyelesaian sebenar kepada permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
 
Selain daripada penggunaan istilah “PIGS” yang pernah digunakan oleh pemimpin PAN ke atas PAS, satu lagi kata-kata kesat bercorak sindiran terhadap parti lawan PAN yang kerap digunakan oleh pemimpin PAN, khususnya oleh Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, ialah penggunaan istilah “parti suci” ke atas PAS dan “parti sarkas” ke atas Umno.
 
Di dalam tulisan terbaru beliau bertajuk “PAN Dihentam, Parti Sarkas Tak Tercuit” di laman Facebook beliau hari ini, Peguam PAS – Dulu, Hanipa menyelar “pemimpin tertinggi parti suci” semata-mata kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “diberi ruang oleh akhbar Mingguan Malaysia dalam satu wawancara penuh” yang didakwa digunakan “untuk bantai PAN dan DAP khususnya” manakala “parti sarkas dan MO1 tak tercuit”.
 
Sebagaimana Wan Saiful dan Dr Jeniri, saya tidak dapat melihat bagaimana PAN boleh mendapatkan sokongan daripada rakyat melalui serangan, dengan menggunakan istilah “parti suci” ke atas PAS dan “parti sarkas” ke atas Umno, pemimpin PAN seperti Hanipa ini. Di mana salahnya Datuk Seri Abdul Hadi menggunakan ruang di dalam akhbar yang menjadi milik parti lawan PAS untuk menyebarkan dasar dan matlamat perjuangan PAS?
 
Adalah menjadi bukti kebijaksanaan Datuk Seri Abdul Hadi bila beliau boleh menjelaskan pendirian PAS di dalam pelbagai isu ke khalayak yang lebih luas, malah boleh pula memberikan nasihat seumpama “dosa politik tidak boleh dihapuskan dengan menunaikan umrah dan haji, masuk Kaabah dan ziarah maqam Nabi semata-mata”, “jika ada hak rakyat diambil secara salah, maka bertaubat dengan memulangkan kembali kepada rakyat” dan “jika ada dasar yang digubal secara batil dan merosakkan, maka dibetulkan dengan kembali kepada dasar Islam”.
 
Melalui budaya politik matang dan sejahtera PAS-lah maka PAS kini mampu menyampaikan pandangan dan memberikan tazkirah ke medan yang lebih luas. Tiada sebab PAN perlu cemburu dengannya, malah keobsesan PAN dengan PAS ini akan sukar membolehkannya bergerak lebih jauh. Lebih eloklah pemimpin PAN menjaga kain sendiri seperti yang dinasihatkan dan diarahkan oleh penganalisis politik mahupun pimpinan tertinggi PAN. – HARAKAHDAILY 18/2/2018
Advertisement