Siapsiagakan seluruh urusan PRU untuk kemenangan

SIK: Pemilihan kepimpinan adalah urusan siyasah syariyyah yang sangat penting dan tertinggi dalam Islam, demikian menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Advertisement

Perkara itu dinyatakannya ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Sik di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau, di sini semalam.

Katanya, sirah telah menunjukkan tauladan itu sebagaimana kisah pelantikan Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq selaku Khalifah sebaik kewafatan Rasulullah S.A.W.

Jelas beliau, hal tersebut sekali gus menjadi dalil bahawa pemilihan kepimpinan Islam adalah kepentingan utama ke arah kelangsungan Daulah Islamiah.

Demikian itu tegasnya, gerak kerja pilihan raya untuk membolehkan pemimpin dan daulah Islam dipilih serta ditegakkan, menjadi urusan penting setiap ahli PAS untuk mendukungnya.

“Pemimpin PAS dan ahli juga perlu meletakkan keutamaan jamaah apabila bertembung dengan program peribadi yang dapat diatur di waktu lain.

“Jentera pula mesti menyusun dan mengatur sebaik mungkin segala Urusan Pilihan Raya melalui gerak kerja amal jamaie agar dapat menarik sokongan,” ujarnya menekankan keutamaan dan kepentingan tugas bagi mencapai tujuan dinyatakan.

Seruan itu diperkukuhkan lagi dengan pembentangan bertajuk “Peranan Urusan-urusan Pilihan Raya” oleh Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPrN) Kedah, Kapten (B) Zambri Ibrahim.

Beliau mempertegaskan kesiapsiagaan urusan-urusan pilihan raya PAS adalah sebagaimana pentingnya model, kebijaksanaan dan strategi dari madrasah peperangan yang diajar Rasulullah S.A.W.

Pentingnya persiapan itu terangnya, kerana pilihan raya pada hari ini juga adalah satu bentuk peperangan yang menentukan tertegak atau runtuh dan musnahnya kefahaman, khususnya Islam.

“Dewasa ini peperangan bukanlah semata-mata dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan yang boleh membunuhbdan meragut nyawa manusia.

“Tetapi melalui peperangan idealogi atau kefahaman yang akan merubah pemikiran dan menentukan sokongan kepada mana-mana golongan,” jelas beliau.

Manakala Pengarah JPrN Kedah, Ustaz Azizan Hamzah pula menegaskan, untuk memastikan PAS menjadi pilihan rakyat pada PRU14 nanti, ianya berkait rapat dengan kerja politik dan pilihan raya merangkumi strategi, tindakan dan syarat kemenangan.

Di mana menurutnya dalam pembentangan bertajuk “Strategi Kemenangan atau Perancangan Kekalahan” itu, semua pelan tersebut hanya akan berjaya dan membolehkan PAS mencapai kemenangan apabila petugas parti mempunyai sifat utama iaitu wala’ dan tsiqah kepada pimpinan. – HARAKAHDAILY 18/2/2018