Sentuhan YB PAS undang pelancong ke Pulau Ketam

KLANG: Pulau Ketam semakin dikenali dan menjadi antara tempat pilihan pelancong sejak di bawah wakil rakyat ADN Selat Klang, Dr Halimah Ali. 
 
Sebelum PRU Mac 2008, ketika masih di bawah pemantauan BN, Pulau Ketam yang terletak di daerah Klang seolah-olah menjadi pulau yang terpinggir daripada kesibukan bandar. 
 
Bagaimanapun, selepas itu Pulau Ketam menjadi tempat pilihan pelancong dalam dan luar negara di mana secara langsung telah meningkatkan pendapatan pemilik feri, hotel, restoren serta kedai barangan runcit.  
 
Inilah antara kejayaan yang dilakukan oleh Dr Halimah selepas dipilih oleh pengundi di Pulau Ketam hingga pada Februari 2015, menjadi sejarah bagi masyarakat Islam di kampung nelayan Cina itu kerana dapat menunaikan solat Jumaat. 
 
Pulau yang didiami nelayan majoriti masyarakat Cina itu mempunyai sekolah, dewan orang ramai, balai polis, klinik kesihatan, hotel, restoren dan kedai jual barang runcit. 
 
Sebuah sekolah tahfiz Al-Quran juga berjaya diwujudkan pada tahun 2017 bagi mendekatkan masyarakat Melayu Islam dengan kaum Cina di pulau itu. 
 
Seramai 52 pelajar menuntut tahfiz ditubuhkan itu dengan bahasa Mandarin antara salah satu pelajaran dalam kurikulum. 
 
Menurut Dr Halimah, jambatan kayu yang dibina dahulu juga telah ditukar kepada jambatan simen dengan penghadang kiri kanan. 
 
Katanya, ini bagi menjamin keselamatan pengguna basikal dan motor dari jeti ke rumah masing-masing. 
 
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Selangor menjelaskan, masyarakat Cina di Pulau Ketam tidak pernah dipinggirkan dan mendapat hak yang sewajarnya. 
 
“Kita telah beri bantuan persekolahan. Begitu juga bantuan RM2,500 kepada keluarga yang kematian ibu bapa,” katanya.
 
Menjelang sambutan Tahun Baru Cina maklumnya, seramai 400 penduduk Pulau Ketam telah dibawa ke Pasar Raya Klang dalam program `Jom Shopping’.
 
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pulau Ketam, beliau telah melancarkan Green Silk serta penyerahan borang DHPP. 
 
Dalam program tersebut, seramai 150 orang kanak-kanak menerima duit rakyat, selain beliau turut menyampaikan sumbangan SMUE RM2,500 kepada empat keluarga waris yang kematian ibu atau bapa.  
 
Dalam ucapan perasmian Green Silk beliau mengingatkan penduduk Pulau Ketam supaya memilih parti yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan rakyat. 
 
“Kita kena pilih pimpinan yang boleh jaga duit di Putrajaya dan duit rakyat. PRU hanya 5 tahun sekali kalau tidak jaga nanti barang semua naik lagi susah kehidupan rakyat.
 
“Dalam Perlembagaan PAS menekankan tentang prinsip dan keadilan untuk semua bangsa. Ini bermakna motto PAS untuk semua bukan hanya slogan tetapi itu satu prinsip yang masuk dalam al-Qruan dan diperjuangkan oleh PAS,” katanya.  
 
Beliau berkata, mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mendidik ahli dan pimpinannya bahawa orang Cina, India dan Melayu merupakan adik beradik. 
 
Beliau juga mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak takut kepada PAS kerana PAS membawa Islam yang tulen dengan menjamin kesejahteraan untuk semua bangsa.  
 
“Bila pilihan raya jangan pening untuk undi parti mana. Kita semua kena tengok langit, atas langit bila waktu malam ada apa? Ada bulan. Kita semua kena undi bulan,” katanya disambut tepukan daripada masyarakat Cina. -HARAKAHDAILY 19/2/2018
Advertisement