Veteran PAS teruskan khidmat dalam As-Sabiqun

MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) amat menghargai golongan veteran partinya dalam satu wadah organisasi yang dijenamakan semula atas nama As-Sabiqun.
 
Sehubungan itu, satu Himpunan As-Sabiqun Peringkat Negeri Terengganu telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, di sini kelmarin.
 
Himpunan khas itu bagi meraikan golongan lama di dalam parti yang selama ini banyak berkorban demi mempertahankan Islam agar terus subur di bumi Malaysia dan Terengganu khususnya.
 
Rata-rata golongan veteran PAS itu masih bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.
 
Encik Ghazali Che Omar dari Cawangan PAS Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus berpendapat penubuhan As-Sabiqun itu amat baik bagi golongan veteran berkhidmat untuk parti.
 
Beliau mendakwa telah bersama dengan perjuangan PAS sejak awal tahun 80-an lagi dan akan tetap istiqamah selagi dasar parti tidak berubah.
 
“Ini (As-Sabiqun) sangat baik atas sifat kecaknaan PAS kepada golongan lama atau veteran seperti kami hari ini. 
 
“Saya yakin PAS akan terus kukuh dengan adanya gabungan kerja antara generasi baharu dengan orang lama yang berpengalaman dalam pelbagai bidang,” ujarnya yang juga bekas guru. 
 
Beliau penuh yakin bahawa PAS dan Gagasan Sejahteranya dapat mengatasi perlawanan jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14.
 
“InsyaAllah, saya dah beritahu, walau empat lima penjuru calon pun, hati kita mesti bulan (PAS), tak kiralah banyak mana pun (calon yang bertanding).
 
“Saya dah banyak buat kempen di kampung, sudah tidak ada balasan (hujah) daripada orang ramai, tidak macam dahulu yang sentiasa ada jawapan,” ujarnya.
 
Malah, beliau turut menyediakan elaun dan kenderaan dari wang pesaraan kepada isterinya, Ustazah Zainun Ali bagi berkhidmat dengan PAS.
 
Mantan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Kampung Bukit Mentok, Chukai Kemaman, Raja Harun Raja Abdullah, 65, melahirkan rasa gembira dengan penubuhan As-Sabiqun di Terengganu.
 
Beliau menyifatkan platform As-Sabiqun itu satu penghargaan dari PAS bagi menjaga ikatan ukhuwwah dengan orang lama dalam parti.
 
Menurutnya, dalam usia warga emas itu beliau masih berkhidmat dalam PAS dan kini beransur-ansur menyerahkan tugas parti kepada generasi baharu.
 
“Saya telah bersama dengan PAS ini lebih 35 tahun dengan pelbagai jawatan parti di peringkat Cawangan PAS dan Unit Peti Undi (UPU).
 
“Saya berpesan kepada golongan muda hari ini supaya berkerjalah dengan lebih kuat lagi dan jangan berpaling tadah sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian dari pimpinan dan ahli-ahli PAS tahun 2015 lalu.
 
“Ikut macam Tuan Guru (Abdul Hadi) pesan kepada kita (ahli) tadi, kalau boleh kita nak menang di sini (dunia), sampai ke syurga sama-sama, jangan terikut dengan rentak orang,” pesan beliau.
 
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi As-Sabiqun PAS Pusat, Subky Abdul Latif, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Husain Awang, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan juga Pengerusi As-Sabiqun Terengganu, Dr Ahmad Abdullah. -HARAKAHDAILY 19/2/2018
Advertisement