Isyarat sokongan kepada PAS semakin ketara

SIK: Penyertaan ramai anak muda pada konvoi motosikal sempena Himpunan Fastaqim PAS Peringkat Kawasan Sik memberi isyarat sokongan dan bukti jelas bahawa PAS tidak kehilangan sokongan anak muda.
 
Yang DiPertua PAS Sik, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, malah petunjuk itu sekali gus menjawab tohmahan dan fitnah musuh PAS bahawa semakin ramai lari meninggalkan parti ini terutama menyeberang ke PH.
 
Himpunan julung kali dianjurkan itu telah menarik penyertaan ramai anak muda dengan konvoi motosikal diketuai oleh ARC Sik pimpinan Ustaz Subhi Tauher, selain kehadiran penduduk awam termasuk ahli-ahli Umno.
 
Perkara itu terang Sanusi, menjadi hakikat sebenar di seluruh negara yang dapat diukur dengan pertambahan keahlian PAS setiap bulan, sedangkan parti politik lain tidak berupaya menzahirkan hitungan angka jelas pada program mereka.
 
Lebih lagi menurutnya, apabila kekuatan sama turut berlaku di Sik yakni Parlimen luar bandar dan kekurangan dari banyak kemudahan, menjadi petanda betapa mesej perjuangan PAS sampai dan diterima di seluruh pelusuk negara.
 
Maklum beliau, anak muda yang terlibat pada program tersebut juga bukan semata-mata memeriahkan aturcara dan majlis, tetapi adalah tenaga penggerak konvoi serta himpunan.
 
Paling utama ujarnya, mereka adalah dalam kalangan bakal pengundi pada PRU14 nanti di mana telah tersenarai sebagai pemilih dan sangat bertekad untuk mendukung perubahan kepada pemerintahan Islam. -HARAKAHDAILY 20/2/2018
Advertisement