MGP kongsi kehilangan anak guru PASTI

NIBONG TEBAL: Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Nibong Tebal telah mengadakan ziarah kepada keluarga Guru PASTI Elit Bandar Tasek Mutira, Suzana Yusuf atas kematian anaknya.

Advertisement

Kunjungan itu bagi menzahirkan takziah dan simpati serta menyampaikan sumbangan prihatin pihak MGP kepada beliau yang ditemui di kediamannya di Bandar Tasek Mutiara, di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut anaknya, Mohd Faisal Azhar, 18, ditemui lemas oleh rakan-rakannya semasa mandi di kolam renang di Bukit Larut, Perak, kelmarin.

Paling memilukan Suzana apabila niat arwah tidak kesampaian di mana telah berhasrat pulang untuk menghadiahkan minyak wangi sempena menyambut ulangtahun kelahiran ibunya, kelmarin.

Pemergian pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Mashoor, Balik Pulau itu sememangnya amat dirasai sekalian rakan dan gurunya.

Hal tersebut disaksikan apabila ramai mereka hadir menyempurnakan solat jenazahnya pada malam kejadian sebelum dikebumikan dan membanjiri perkarangan Surau Al-Ikwan, Bandar Tasek Mutiara. -HARAKAHDAILY 20/2/2018