Himpunan Bangkit Pertahan Kerajaan Islam Kelantan

KOTA BHARU: Kali terakhir rakyat Kelantan berhimpun pada 22 Julai tahun lepas sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, lautan manusia di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Advertisement

Momentum yang berlaku itu memberi isyarat jelas sebahagian besar rakyat Kelantan bersama kepemimpinan ulama bagi meneruskan legasi ditinggalkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menjelang wisel Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang hanya menanti detik dan ketika sekarang, sekali lagi rakyat Kelantan akan berhimpun.

Program Himpunan Bangkit Pertahan sebagai mobilisasi bagi mempertahankan survival kepimpinan ulama yang bertapak di Kelantan sejak Oktober 1990.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, Himpunan Bangkit Pertahan menghantar isyarat Kerajaan Islam Kelantan perlu dipertahankan.

Katanya, perhimpunan itu bertema “Sejahtera Untuk Islam” akan diadakan di Padang Perdana dan Dewan Jubli Perak MPKB BRI pada 16 Mac depan.

“Himpunan Bangkit Pertahan bertujuan membangkit kesedaran bersama dalam kalangan masyarakat sebagai pendokong kepimpinan ulama.

“Setiap pendokong Kerajaan Islam perlu bekerja keras bagi mempertahankan dasar Merakyat Membangun Bersama Islam. Ia juga bagi meneruskan agenda pembangunan Kelantan Sejahtera Untuk Islam,” katanya di sini.

Himpunan Bangkit Pertahan bermula jam 8.30 pagi dengan persembahan nasyid, diikuti kuliah perdana oleh selebriti dakwah Ustaz Azhar Idrus bertempat di Padang Perdana.

Kuliah mingguan pagi Jumaat di Medan Ilmu dipindahkan ke Padang Perdana pada hari tersebut.

Himpunan Bangkit pada sebelah petang bermula jam 3 dengan himpunan Pemuda dan Muslimat, manakala pada 6.30 petang turut diadakan jamuan rakyat.

Program malam bermula dengan solat Maghrib, kuliah, Isya, munajat dan solat hajat. Kuliah Maghrib difahamkan turut mengundang tokoh ulama terkenal.-HARAKAHDAILY 21/2/2018