PAS mesti dimenangkan demi masa depan umat Islam

KANGAR: Masa depan umat Islam akan semakin terancam sekiranya PAS gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, demikian ditegaskan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Advertisement

Menurut beliau, usaha-usaha bagi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan umat Islam sedang rancak berjalan, bertujuan memastikan kelompok Melayu-Islam hilang kekuasaan politik selepas PRU14 nanti.

Jelasnya, gerakan ini sebenarnya dibiayai oleh kuasa-kuasa asing yang sememangnya berhasrat menyekat kebangkitan Islam di mana boleh menjejaskan usaha mereka untuk menguasai politik negara.

“Gerakan anti Islam dan liberal sebagai contoh, sedang rancak berkembang dan ini merupakan ancaman terbesar buat umat Islam,” ujarnya ketika berucap di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) malam tadi.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Sik turut mendedahkan, antara strategi kumpulan-kumpulan ini termasuklah ‘membeli’ para pemimpin parti politik di negara ini.

Hal bagi terang beliau yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, adalah untuk memastikan parti-parti politik tersebut bergerak mengikut telunjuk serta agenda mereka. 

Tambahnya lagi, kumpulan ini turut cuba menggunakan strategi yang sama bagi menguasai PAS, namun gagal, tetapi menyaksikan segelintir pimpinan dan ahli PAS telah menuruti mereka.

Justeru beliau mengingatkan, umat Islam di negara ini tiada pilihan lagi, selain memastikan kemenangan berpihak kepada PAS pada PRU14 seterusnya membentengi rakyat dan negara khususnya umat dan agama Islam.

Kerana akui beliau, hanya PAS sahajalah mampu menyelamatkan politik negara dan umat Islam daripada kerakusan semua pihak yang mahu menguasai negara demi menegakkan cita-cita mereka.

“Mahu tak mahu, PAS mesti ambil kekuasaan politik umat Islam, menang pilihan raya umum menjadi prasyarat untuk kita kuasai politik umat Islam,” katanya. -HARAKAHDAILY 21/2/2018