PASRelief lancar dana kecemasan untuk Ghoutah, Syria

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah melancarkan Rayuan Dana Kecemasan makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Ghoutah, Syria berikutan perkembangan terbaharu di negara tersebut.

Advertisement

Laporan semasa di Syria menyaksikan peperangan kembali meletus hingga mengorbankan nyawa rakyat dalam kalangan umat Islam yang tidak berdosa berlaku di Timur Ghoutah.

Lebih 400,000 penduduk di daerah itu diancam siri pengeboman udara yang dilancarkan oleh rejim Bashar Assad kononnya untuk memerangi kumpulan Daesh.

Natijah malangnya, angka korban syahid dalam kalangan awam telah melebihi 300 mangsa kebanyakannya kanak-kanak, wanita dan warga emas dalam hanya dua hari serangan.

Operasi ketenteraan rejim mengepung kawasan yang didakwa dikuasai militan itu menjadikan penduduk tertawan sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di bumi Syam tersebut.

Selain korban, ribuan lagi mengalami kecederaan yang sangat tragis dan mengerikan, termasuk kehilangan tempat tinggal dengan kerosakan serta kemusnahan struktur kediaman dan premis awam.

Keadaan di hospital pula hampir lumpuh dengan jumlah ramai mangsa dan keadaan kecederaan parah dialami seperti terbakar, putus anggota badan, selain hilang pendengaran atau penglihatan.

Tambah rumit, apabila bantuan antarabangsa turut terhad atau terhalang sama ada melibatkan inisiatif perubatan mahupun bekalan makanan, juga situasi keselamatan yang sangat berisiko.

Sehubungan itu, umat Islam wajib membantu dengan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank PASRelief 5640 7061 2333. -HARAKAHDAILY 23/2/2018