SPRM tegas terhadap pemimpin negara angkat indeks CPI

PENURUNAN Malaysia dalam Indeks Rasuah sebanyak tujuh tangga dengan kini berada di kedudukan ke 62 daripada 180 buah negara begitu mendukacitakan dan memalukan rakyat Malaysia. Transparency International (TI) mengeluarkan prestasi negara yang mencatat penurunan terburuk sejak lima tahun lepas. Malaysia hanya mencatat markah 47 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

Advertisement

Di sebalik kehebatan negara mencipta pelbagai kejayaan dan kemajuan di pentas dunia, keputusan Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan hari ini seperti menghempas nama negara ke dinding dan pecah berderai. Bagi rakyat Malaysia yang impikan sebuah negara adil dan bebas, CPI membuktikan negara ini masih dikuasai oleh petualang yang makan duit haram hasil kerja rasuah sehingga memburukkan nama negara. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hanya menunjukkan reaksi terkejut semacam tidak percaya dengan pengumuman CPI. Ini kerana baginya telah dua tahun SPRM puas dengan aksi mengejar, menangkap, menggeledah, menyerbu, menahan reman, mengheret ke mahkamah semua tertuduh ke rasuah tetapi indeks CPI negara tetap jatuh.

Tidak sukar menelaah punca mengapa indeks rasuah Malaysia jatuh merudum dari setahun ke setahun. Pengerusi Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar mendedahkan beberapa kes berprofil tinggi seperti 1MDB, skandal Felda serta Jabatan Air Negeri Sabah menyumbang kepada prestasi buruk Malaysia. Akhbar Satar turut mengakui bahawa kedudukan Malaysia akan terus jatuh dalam tempoh beberapa tahun lagi jika skandal ini tidak diselesaikan segera.

Ini bererti, walaupun SPRM sibuk dengan tangkapan demi tangkapan, namun mereka ibarat hanya mencantas dahan yang rosak sahaja. Sedangkan akar pokok tersebut masih hidup yang terus menumbuhkan dahan-dahan yang lain. Ketika satu dahan dicantas, pokok yang hidup akan terus menumbuhkan dahan lain yang lebih subur dan merimbun. Ibarat merawat kanser hanya dengan membuang kudis dan nanah yang ada di bahagian luar badan. Kanser terus hidup dan merebak ke seluruh bahagian badan yang lain. 

Akar masalah rasuah negara berpunca dari pemimpin besar negara. Jika hanya pemimpin bawahan atau penjawat direman, ditangkap dan dipenjara kerana rasuah, tetapi pemimpin utama negara masih bebas dan berleluasa, apa ertinya membasmi atau memerangi rasuah. Skandal ‘sebesar alam’ 1MDB telah diketahui seluruh dunia dan dilakukan oleh pemimpin yang juga diketahui oleh semua orang, namun pemimpin itu dibiarkan bebas tanpa diadili. Apakah makna keadilan dan ketelusan?

Pepatah Cina ada menyebut ‘ikan busuk bermula dari kepala’. Rakyat mengikut teladan pemimpinnya. Jika pemimpinnya adil, amanah dan benar, maka rakyat akan mencontohinya. Sebaliknya jika pemimpinnya zalim, korup dan rasuah apa diharapkan rakyat menjadi insan yang bersih dan amanah. Tindakan menangkap rakyat bawahan, pemimpin pembangkang, pemimpin pertengahan dilihat sekadar melepaskan batuk di tangga atau lakonan memperlihatkan jujur dan bebasnya SPRM. Rakyat melihat ada dwi standard dalam tindakan di negara ini, untuk rakyat disegerakan tindakan dengan agresif dan bersungguh-sungguh, tetapi untuk pemimpin SPRM memejamkan mata dan membiarkan sahaja. Jika begitu amat malang bagi sebuah negara yang mengaku maju dan setaraf dengan negara moden, tetapi dalam soal integriti Malaysia standard negara dunia ketiga.

Sudah sampai masanya Malaysia berjuang membebaskan diri dari pemimpin yang korup dan rasuah. Memerangi pemimpin yang korup bererti menyelamatkan negara dari terus dimalukan di peringkat antarabangsa. Jangan hanya kerana seorang dua pemimpin negara yang rasuah, rakyat dan negara terpaksa tanggung malu dan derita. SPRM perlu beranikan diri mendakwa dan mengheret mereka di mahkamah, biarkan pemimpin ini pergi, kerana rakyat dan negara tidak rugi apa-apa. Sebaliknya kita semua sentiasa rugi dan hina kerana mendapat pemimpin yang merosakkan nama negara.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/2/2018