Tuduhan Presiden PAS terima RM90 juta bohong

serah

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi penegasannya bahawa tuduhan beliau menerima RM90 juta dari Umno adalah satu pembohongan dan samannya terhadap pihak yang membuat tuduhan bohong itu diteruskan hingga selesai di Mahkamah England.

Advertisement

Katanya, terdapat petanda awal perbicaraan itu akan selesai tidak berapa lama lagi dan keputusan bakal memenangkan beliau.

“Jika saya ambil duit RM90 juta, PAS (buat program) tak pakai khemah ini. Kita pakai khemah molek lagi. Saya telah saman mereka yang tuduh saya terima RM90 juta daripada Umno.

“Orang (yang buat tuduhan) itu duduk di England bukan duduk di sini (Malaysia). Orang sini yang ajar dia, orang sini yang upah dia. Jadi, saya saman di Mahkamah England.

“Saya telah masuk fail di mahkamah itu dan sehingga ini saya menang dan pada bulan April akan datang ini akan ada satu keputusan (mahkamah) dan ada tanda-tanda yang saya akan menang dan tuduhan itu pelawok (bohong).

“Dan (ada pihak) dia pujuk saya tarik (saman) dan saya akan lawan saman itu sampai habis, InsyaAllah,” tegasnya di hadapan hampir 500 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang warga Tionghua dalam dialog Jamuan Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di perkarangan Pejabat Penyelaras PAS Parlimen Kuala Terengganu, di Jalan Banggol, di sini, semalam.

Menjawab persoalan lain sama ada PAS ingin bersama dengan Umno, kata Dato’ Seri Abdul Hadi bahawa PAS tetap akan lawan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.

“Kita dah sebut kita nak lawan Umno pada pilihan raya ini. Kita (PAS) tanding 130 kerusi dan sudah tentulah kerusi yang PAS lawan itu ialah (kerusi) Umno.

“DAP tak lawan Umno, DAP lawan MCA. PKR lawan semua, kita (PAS) lawan Umno untuk pilihan raya ini. Di Terengganu, kita (PAS) akan tanding 32 kerusi Dun dan lapan Parlimen semua,” jelasnya ketika menjawab persoalan itu.

Masyarakat Tionghua di negara ini dimomokkan dengan beberapa isu fitnah dan pembohongan terhadap PAS bagi menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti itu di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pada majlis itu, Presiden PAS turut menerima serahan borang keahlian baharu anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Kuala Terengganu sebanyak 60 orang.

Sempena majlis itu, kehadiran pemimpin nombor satu PAS disambut dengan tarian Singa dan pembakaran mercun sebagai satu penghormatan masyarakat Tionghua.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Hussain Awang dan seluruh kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Ketua Muslimat dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustazah Zarani Othman dan Ustaz Kamaruzzaman Abdullah serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Jefri Chua. – HARAKAHDAILY 23/2/2018