Angkat rangka jelas PAS, runtuhkan sekular kapitalis

JERAI: Rangka pemerintahan PAS berlandaskan Islam yang telah dipersembahkan dalam dokumen-dokumen rasmi digagaskan mestilah dikemuka oleh ahli PAS supaya menjadi pilihan masyarakat.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, ia penting dibawa kepada rakyat Malaysia yang masih berada dalam pentadbiran sekular kapitalis hingga membawa banyak masalah kepada sosial dan ekonomi.
 
Perkara itu dinyatakannya pada Himpunan Jentera Pilihan Raya dan perasmian Markas Operasi MTD Guar Chempedak di Dataran MDY Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Serunya, segala beban disebabkan pemerintahan Umno-BN mesti dihapuskan termasuk segala karut marut hanya parti itu boleh memerintah sedangkan PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan sejak tahun 1990.
 
Dalam perkembangan terkini dilaporkan, Kerajaan PAS Kelantan mencapai lebihan (surplus) sebanyak RM38.76 juta berbanding defisit RM33.47 juta tahun sebelumnya.
 
Ia petunjuk kepada pengurusan kewangan terbaik yang diakui pihak audit ketika belanjawan negara terus menunjukkan defisit hampir 20 tahun, selain agensi Kerajaan Negeri Kelantan turut mencapai banyak pengiktirafan dan penarafan.
 
Ustaz Azam berkata, selain Kelantan, PAS juga menuju untuk mengambil alih pemerintahan negara dari Umno-BN dengan perancangan jelas menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
 
Juga tambahnya, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 dan Kerajaan Teknokrat sebagai penyelesaian bersepadu terhadap segala masalah sedia ada.
 
Disebalik semua itu menurutnya, musuh politik PAS pula sedang berpolemik dan bersengketa dengan perbalahan dalaman dan perebutan kerusi sesama mereka. HARAKAHDAILY 24/2/2018
Advertisement