PAS Tawau mahu pemantauan pencegahan kebakaran dilakukan

TAWAU: PAS Kawasan Tawau meminta pihak berwajib mengadakan pemantauan sewajarnya terhadap tahap keselamatan semua bangunan sekolah di daerah itu khususnya dan negeri amnya.
 
Ia berikutan kejadian kebakaran yang menimpa Sekolah Kebangsaan Sentosa hingga menyebabkan kemusnahan pejabat, bilik guru, pusat sumber, dewan, bilik buku teks dan beberapa kelas Tahap 1.
 
Malah menurut Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau, Daud Jalaluddin, usaha pemantauan sama turut perlu dilakukan ke atas premis milik kerajaan, swasta mahupun persendirian agar ia memenuhi spesifikasi standard pencegahan kebakaran.
 
“Bagi PAS Tawau, kami ucapkan takziah dan turut berdukacita, serta berharap warga sekolah erbabit bersabar dan bertabah atas kejadian. Kami sangat bersimpati, namun syukur tiada kehilangan nyawa. 
 
“Walaubagaimanapun kejadian ini perlu diambil iktibar,” ujarnya turut mengenang kejadian kebakaran Bangunan KWSP Kuala Lumpur minggu lalu.
 
Difahamkan sekolah berkenaan menumpang bersebelahan blok Sekolah Kebangsaan Batu 4 dan sepatutnya berpindah mulai 5 Mac ke tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Kabota, di sini. -HARAKAHDAILY 24/2/2018
 
Advertisement