Politik PAS : Sebuah penilaian

KAMI tertarik dengan keanjalan dan pendekatan kerjasama politik yang dimainkan oleh PAS dalam arena politik negara.
Jika kita susuri pendekatan kerjasama politik PAS ianya sudah melangkah ke depan berbanding dengan parti politik yang lain dengan pelbagai pengalaman politiknya. Antaranya:

Advertisement

PAS bertahaluf siyasi dengan kerajaan atau pemerintah
– Kerajaan Perpaduan (1973)
– Barisan Nasional (1974-1978)

PAS bertahaluf siyasi pembangkang
– Angkatan Perpaduan Ummah (1989-1995)
– Barisan Alternatif (1999-2001)
– Pakatan Rakyat (2008-2015)

Jika dibandingkan dengan parti utama yang lain, seperti Umno mereka tidak pernah merasa sebagai parti pembangkang, begitu juga PKR dan DAP tidak pernah merasai pengalaman sebagai kerajaan pusat. 

Pendekatan PAS sebelum ini telah meletakkan PAS pada ‘class‘nya yang tersendiri. Class inilah yang menyebabkan anak muda tertarik dengan pendekatan politik PAS. 

Apatah lagi setiap pendekatan yang dilakukan PAS itu tidak pernah menggadaikan prinsipnya, bahkan prinsip PAS-lah yang menjadi penyebab sesuatu kerjasama itu terbentuk ataupun tidak. 

Menariknya kini, PAS melangkah selangkah lagi meninggalkan parti politik yang lainnya apabila mengambil pendekatan yang baru dalam politiknya iaitu dengan memperkenalkan konsep Taawun Siyasi

Iaitu pendekatan yang lebih terbuka dengan dasar pendekatan kerjasama atas perkara kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara kemungkaran. Dan, menariknya kerjasama ini tidak menghadkan kepada mana-mana pihak sama ada pemerintah mahupun pembangkang. Asalkan perkara yang dibawa itu memberikan kelebihan kepada Islam dan juga rakyat, maka, PAS akan turut bekerjasama.

Ini suatu eksperimen politik yang sangat ‘wow‘ bagi anak muda. PAS telah mempersembahkan satu pendekatan yang akan membawa anak muda dan rakyat mendiskusikan pendekatan terbarunya ini. 

Sekali gus mengeluarkan faham politik rakyat yang hanya dipersembahkan dengan politik pertembungan dua pihak kerajaan dan pembangkang kepada suatu makna politik yang lebih luas iaitu politik suatu solusi mencari kebajikan buat rakyat. 

Kami dari PAMI mengucapkan tahniah kepada PAS atas eksperimen baru dalam politik tanah air ini. Anda membentuk cara fikir politik kami kini.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Founder
Projek Anak Muda Islam – PAMI – HARAKAHDAILY 24/2/2018