Tolak parti yang menggugat agama dan perpaduan

SEMUA pihak dan semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini menerima suasana harmoni sehingga kini yang perlu ditingkatkan, bukan melemahkannya. Inilah konsep positif yang ada dalam masyarakat Melayu beragama Islam, sehingga sejahil-jahil kampung Melayu boleh menerima kaum lain kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu. Walaupun hanya satu keluarga dan sebuah kedai runcit, bukan Melayu boleh hidup di tengah kampung padat Melayunya sejak zaman berzaman. 

Advertisement

Adapun yang menganut Islam pula dianggapnya masuk Melayu, kerana inilah kesan ajaran Islam yang ada dalam diri mereka, walaupun Islam itu adalah agama bukannya bangsa. Bukan Melayu dan bukan Islam pula sanggup bergaul dan bercakap Bahasa Melayu walaupun pelat tanpa nahunya tetapi tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang berbudaya Melayu walaupun dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.

Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, negeri paling tenang dan aman adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri yang banyak pengajian Islam dan paling padat Melayunya. Ini menunjukkan sejahil-jahil mereka tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam dan cara hidup bermasyarakat majmuk terhadap penganut agama lain. Al-Quran mendidik umat Islam bahawa manusia adalah keluarga besar walaupun berbagai agama dan bangsa. Semuanya daripada Adam dan Hawa. Firman Allah:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ

أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (١٣)

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan saling berhajat antara satu dengan yang lain mengikut konsep bermasyarakat majmuk dan madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

(al-Hujurat: 13) 

Konsep hubungan kekeluargaan manusia diwujudkan bersama konsep dakwah Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan terhadap agama lain, dan mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang sinonim dengan makna Islam itu sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada ajarannya.

Pendekatan cara paksaan adalah membatalkan keikhlasan dan menimbulkan ketegangan. Walaupun wajib berdakwah mengajak manusia semuanya kepada Islam, namun Islam konsisten mewajibkan adil dan memberi hak terhadap semua kaum dan agama dalam masyarakat majmuk dan masyarakat madani.

Adalah menjadi hak yang wajib kepada penganut Islam yang menjadi masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara ini, menegaskan Islam menjadi agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama diberi hak yang adil kepada agama lain yang wajib diamalkan. 

Inilah keputusan yang saksama di awal kemerdekaan berasaskan persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Pra Kemerdekaan pada tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan (Umno, MCA, MIC) dan PAS satu-satunya parti pembangkang yang ada kerusi. Parti-parti yang lain belum lagi dilahirkan. PAS bersama berjuang kemerdekaan daripada penjajah, walaupun berbeza dari segi dasar dan konsep negara, serta berbeza dari segi beberapa pendekatan, namun sama-sama bersetuju menghalau penjajah.

Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 apabila adanya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman sehingga mencetuskan ketegangan. Kini ada parti yang ingin meneruskan lagi cara lama yang usang dan tidak patut diulang lagi. 

Mereka bertahan dengan pengundi bukan Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan Islam adalah sasarannya. Caranya tidak konsisten, sama ada ia beragama, berkaum atau tidak atau pragmatik oportunis.

Tindakan parti itu paling lantang dan ke hadapan menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam. 

Contohnya yang paling berani ialah supaya mengisytiharkan Malaysia adalah negara sekular, berani mencabar ajaran Islam yang sempurna dan menjadi penghalang tegas terhadap usaha PAS memperjuangkan negara Islam secara demokrasi. Cara tersebut menunjukkan langkahnya lantang menyekat perjalanan Islam sehingga kelantangannya terkini lebih daripada sebelumnya, apabila berani menyentuh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara Islam, Raja Berperlembagaan, Hak Istimewa Bumiputera dan lain-lain. 

Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia. Cara politik parti itu boleh juga disebut sebagai konsep luar tabii yang mahu memaksa keadaan yang ada selama ini.

Penentangan terbuka terhadap RUU 355 juga adalah langkah yang nyata tidak menghormati hak penganut Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Parti itu ingin menjadi juara memaksa kalangan bukan Islam supaya bersamanya.

Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topengnya atau yang bersedia diperalatkan. Namun mereka tetap tidak mampu menyorokkan wajahnya yang sebenar. Topeng juga tidak kukuh dan boleh terkoyak dan dirobekkan bila-bila masa.

Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan, sehingga sekadar dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi penganutnya tidak berhak beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain berhak beramal dengan agama mereka.

Kedudukan konsep Raja Berperlembagaan yang dijadikan syiar ketua agama juga dipermain-mainkan. Walaupun ada kelemahan manusianya, tetapi bukan tempat untuk dipermain-mainkan, kerana sepatutnya diperkasakan dengan mengatasi kelemahan manusia, bukan mencari kelemahan untuk dijatuhkan dan merampas kuasanya yang ada. 

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أرَادَ اللهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صدقٍ، إنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإنْ ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإِذَا أرَادَ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

رواه أَبُو داود بإسنادٍ جيدٍ عَلَى شرط مسلم . رياض الصالحين (تحقيق الدكتور الفحل) (1/ (383.

 

Apabila Allah menghendaki kepada raja itu baik, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang baik. Sekiranya dia terlupa, nescaya diperingatkannya. Sekiranya dia ingat, nescaya ditolongnya. Sekiranya Allah menghendaki kepada raja itu keburukan, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang jahat. Sekiranya dia terlupa, nescaya tidak diperingatkan. Sekiranya dia ingat tidak ditolongnya pula

 Dalam masa yang sama, parti itu menyokong pesta arak, hiburan dan gaya hidup bebas yang ditentang oleh semua agama yang menjaga moral manusia. Walaupun agama itu syirik aqidahnya, tetapi tetap sama dari segi menerima akhlak yang mulia, seperti tidak meminum arak, tidak berjudi, melarang pergaulan bebas dan sebagainya. Sepatutnya titik persamaan ini sama-sama dihidupkan, tetapi sengaja dilemahkan semata-mata kerana kepentingan mendapat sokongan politik untuk mendapat kuasa, tanpa perhitungan baik dan buruk, aman dan huru-hara. 

Mereka juga menyatakan tidak senang terhadap beberapa perkara yang membela Melayu dan Bumiputera yang dipinggirkan sejak zaman penjajah dan masih terkebelakang selepas kemerdekaan, tanpa dinafikan pembelaan terhadap kaum lain yang bermasalah, namun Melayu dan Bumiputera paling ramai miskin. Sikap tidak senang ini juga boleh menghilangkan keharmonian masyarakat majmuk.

 Rakyat bukan Islam hendaklah menolak parti itu demi keselamatan semua. Adapun umat Islam diharamkan dengan sekeras-kerasnya sama ada menjadi ahli, penyokongnya atau alatnya, termasuk menjadikannya rakan setia untuk perjuangan partinya apabila nyata sikapnya terhadap Islam, sehingga Allah memberi amaran yang keras dan menjadikannya sebahagian daripada sifat munafik. 

Firman Allah:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمً (١٣٨) ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا (١٣٩) وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا (١٤٠ )

 

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir (yang bermusuh) itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (139) Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahannam. (140)  

(an-Nisa’: 138-140) 

 Allah telah menurunkan wahyu al-Quran apabila seorang Sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah R.A, seorang ahli Badar yang mendapat tempat istimewa di sisi Allah kerana dia menyampaikan maklumat kepada musuh Islam semata-mata kerana ingin menjaga keluarganya di Makkah supaya tidak diganggu. 

 Allah berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ( ١)

 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah S.A.W dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul. 

(al-Mumtahanah: 1) 

 

Dalam surah ini juga, Allah menetapkan bahawa tidak menjadi salah mengadakan hubungan yang baik dan wajib berlaku adil kepada kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Firman-Nya:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٨

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 (al-Mumtahanah: 8 )

 Hatib bin Abi Baltaah R.A terus bertaubat dengan ikhlas kerana Allah tanpa merasa marah atau berkecil hati terhadap teguran yang keras daripada Allah dan Rasulullah S.A.W.

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dan mukjizat ilmu yang berterusan sehingga Hari Kiamat. Maka wajiblah kalangan yang bersekongkol dengan parti yang nyata menentang Islam dan bersekongkol bersamanya sehingga berani melakukan apa sahaja yang menghalang cita-cita Islam atau berbelit-belit di jalanan politiknya, supaya kembali ke pangkal jalan.

Umat Islam boleh berbeza pendapat dalam perkara cabang, namun diharamkan berpecah dalam perkara dasar, menyentuh aqidahnya dan mengancam kedaulatan Islam. Kalangan bukan Islam pula wajib menolak rakan mereka yang tidak bermasyarakat madani dan majmuk yang mengancam keharmonian antara kaum dan agama.  

 “Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 8 Jamadil Akhir 1439 / 24 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 24/2/2018