Konsep Ta’awun Siyasi

FIRMAN Allah:

Advertisement

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

(al-Maidah: 2)

Allah telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak generasi pertama yang ditugaskan untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam. Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong) dalam perkara yang baik dan taqwa (mentaati Allah), terus beristiqamah di atas dasar Islam dan matlamatnya dengan melaksanakan Islam dan menegakkannya.

Tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan walaupun terhadap musuh yang menzaliminya, apatah lagi dalam kalangan umat Islam yang berbeza pendapat, berlainan pendekatan dan berlakunya salah faham, serta tenggelam dalam kejahilan. Konsep ini juga dipanjangkan dalam hubungan masyarakat majmuk dalam satu negara walaupun berbeza agama bangsa sehingga berlakunya ketegangan. Selain itu, dilakukan juga dalam hubungan luar negara.

Pendekatan ini menghubungkan Islam dengan semua pihak bagi menyampaikan risalahnya ke seluruh alam. Petunjuk ini pernah berjaya menembusi hati bangsa Arab padang pasir yang keras, degil dan sifat pemanasnya yang bernyala, cepat bermusuh dan berperang.

Hatinya laksana kerasnya batu dan tanah yang dibakar oleh kepanasan suhu cuaca dan kehidupannya yang kering kontang, tetapi Islam berjaya menyatukan umat yang beriman daripada kalangan bangsa Arab, diikuti berbagai bangsa dan kaum di atas aqidah Islam atau menarik kalangan bukan Islam di atas persamaan konsep kemanusiaan yang masih tetap menjadi sifat yang matang mahukan kebaikan dan menolak kejahatan.

Objektifnya adalah memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal (fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan dengan sabar menghadapi cabaran, walaupun menunggu masa yang lama.

Rasulullah S.A.W meneguhkan perpaduan umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar yang terdiri daripada berbagai kabilah dan keluarga yang pernah berperang pada zaman jahiliah, akhirnya bersatu di bawah persaudaraan iman dan bendera Islam.

Seterusnya secara langsung menerima persamaan sifat yang baik di kalangan bukan Islam, sama ada di kalangan keluarganya ketika di Makkah dan kalangan bukan Islam yang menerima Piagam Madinah dan berhubung juga dengan Kabilah Arab di luar Makkah dan Madinah, walaupun mereka itu masih menganut agama syirik.

Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa meninggalkan perkara prinsip akidah Islam, sempadan syariat dan akhlaknya. Tahaluf diharamkan dan dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa sahaja keburukan.

Di Marhalah Makiyyah, Rasulullah S.A.W bersama keluarganya kalangan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Abu Talib yang belum menganut Islam. Manakala Marhalah Madaniyyah pula, Baginda S.A.W menerima kaum bukan Islam dalam kalangan ahli kitab yang dimasukkan dalam Piagam Madinah yang terkenal menjadi contoh kontrak sosial masyarakat majmuk dalam satu negara.

Seterusnya membuka ruang kepada Kabilah Khuza’ah dan lain-lain yang berada di bloknya dalam perjanjian Hudaibiyyah dan mengiktiraf amal kebajikan Hatim Al-Toei pada masa jahiliah sehingga bertindak membebaskan kabilahnya yang belum Islam.

Kenyataan yang tegas meneruskan dakwah walaupun mereka tidak bersama lagi melindungi Rasulullah S.A.W ketika di Makkah. Bertindak membatalkan Suluh Hudaibiyah apabila Bani Bakar yang berada di blok Musyrikin memerangi Khuza’ah yang bernaung di bawah Negara Islam, sehingga menjadi sebab dilakukan Fathu Makkah.

Semua konsep hubungan dengan pihak lain seperti tahaluf, suluh, mujadalah, taawun dan lain-lain bertujuan untuk membuka pintu dakwah secara langsung atau tidak langsung kepada pihak lain, dengan syarat beristiqamah di atas akidah dan menuju matlamat menyampaikan Islam kepada pihak lain, supaya melihat secara langsung ajaran Islam yang diamalkan membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan menolak segala kemungkaran walaupun dilakukan oleh bangsa arab dan keluarganya.

Menangani Politik Semasa

Al-Quran dan pelaksanaannya oleh Rasulullah S.A.W adalah petunjuk di sepanjang zaman sehingga Hari Kiamat. Maka ahli PAS hendaklah berpegang teguh dan istiqamah kepada Perlembagaan PAS yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi dan menjadi asas paling mulia dalam perlembagaannya, dan hendaklah mentafsirkannya dalam amalan politik semasa dengan teguh dan istiqamah, tanpa hanyut atau sesat daripada dasar dan matlamat Islamnya.

Semua keputusan melaksanakan pendekatan berdamai dengan pihak lain seperti Tahaluf yang pernah dilakukan beberapa kali dalam senario perjalanan PAS dirancang oleh pimpinan pusat dan dilaksanakan setelah diputuskan oleh dahulunya Dewan Ulama dan terkini pula Majlis Syura Ulama.

Keputusan telah dibuat juga dengan membatalkan Tahaluf bersama Pakatan Rakyat oleh Majlis Syura Ulama berdasarkan hukum Syariat, lalu dilaksanakan oleh PAS Pusat. Kini diperkenalkan pula konsep Ta’awun yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang lebih ketat seperti Tahaluf.

BPMS dan Ta’awun

PAS memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah (berdepan secara damai) dengan menyertai amalan demokrasi pilihan raya mengikut konsep keutamaan dalam dakwah dan jihad yang bertujuan menyelamatkan manusia bersama Islam, sama ada menganut Islam atau berada di bawah pemerintahan Islam tanpa menganutnya, tetapi melihat pelaksanaan Islam yang adil terhadap semua dan membawa rahmat kepada semua.

Sejarah merakamkan bahawa kalangan bukan Islam lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Maka penganut Islam yang berkhilaf hendaklah lebih wajib menegakkan kuasa pemerintahan Islam.

Cara menjauhkan diri daripada masyarakat atau menghalau bukan pendekatan yang bijak bagi menarik manusia kepada Islam. Semua para Rasul A.S diperintahkan oleh Allah supaya berhadapan dengan manusia, walaupun terhadap yang paling keras seperti Firaun.

Mereka berucap dengan bahasa yang lembut dan menarik, bukan dengan bahasa dan cara yang keras dan tindakan meliarkan walaupun terhadap mereka yang tidak ada harapan untuk mendapat hidayah, kerana kewajipannya hanya menyampaikan, adapun penerimaannya dengan sebab mendapat hidayah adalah urusan Allah.

Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ(٣٥) وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (33) Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara membalasnya melakukan yang paling baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (36)

(Surah Fussilat: 33-36)

Budaya bijaksana ini dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dalam semua keadaan, ketika berdamai dan berperang, khususnya ketika mencapai kemenangan dalam keadaan paling kuat, sehingga Islam diterima dengan mudah dan cepat tersebarnya ke seluruh pelosok dunia.

Pengaruh Islam menembusi ke dalam masyarakat musuh, sehingga kuasa besar dunia yang zalim jatuh dengan pertolongan Allah dan musuh yang tidak didukung oleh masyarakat bangsa dan agamanya sendiri, apabila melihat perbandingan di antara pemerintahan Islam yang adil dengan kerajaannya sendiri.

Selain itu, ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W ketika operasi Perang Khaibar terhadap kaum Yahudi yang paling memusuhi Islam bahawa kejayaan mengIslamkan seorang musuh lebih afdal daripada menghapuskannya:

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم

“Demi sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah (masuk Islam) lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya”

Kedatangan Islam di rantau ini juga secara damai, tidak seperti di tempat yang lain sehingga Islam juga berkembang di zaman penjajahan, walaupun penjajah itu membawa agenda menyebarkan agama Kristian yang dilindungi senjata dan harta kekayaan.

Hanya segelintir penduduk yang menganut agama penjajah, adapun yang telah Islam tetap bertahan walaupun dalam keadaan yang jahil agama, dikongkong kemiskinan dan buta huruf dan ramai terpengaruh dengan budaya Barat tetapi tetap cintakan Islam.

Perjuangan kita terkini ialah menyedarkan yang sudah Islam yang paling besar jumlahnya yang wajib memimpin kuasa politik negara dan ditambah dengan usaha mengIslamkan bukan Islam tanpa paksaan atau mereka menerima pemerintahan Islam melalui pilihan raya.

Pendekatan melalui penerangan dan pengajian sahaja tidak mencukupi, maka hendaklah disertai agenda menunjukkan Islam yang boleh diamalkan bersama pihak lain yang dinamakan Ta’awun yang lebih luas lapangannya daripada Tahaluf.

Ta’awun membolehkan kerja yang bersifat kebajikan yang diterima oleh semua pihak. Pelaksanaannya ialah ta’awun (bertolong menolong dalam perkara yang baik dan menentang segala kemungkaran). Pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam semua keadaan sama ada menjadi pembangkang atau tidak semestinya kalau berkuasa memerintah negeri atau negara.

Di antara perkara yang telah dilakukan adalah pendirian berkecuali (tidak membangkang dan tidak juga menyokong) oleh MP dan Adun PAS terhadap Bajet dengan menjadi pembangkang yang tidak melulu, kerana di dalam Bajet itu ada perkara baik yang menjadi keperluan rakyat dan jentera kerajaan yang mengurus kehidupan secara umum dan menjaga keamanan dan keselamatan negara, namun kita tetap menentang dalam perkara kemungkaran seperti boros dan membazir dalam mengendalikan kewangan negara. Huraiannya ialah melalui penjelasan dalam perbahasan dewan.

Kejayaan awal membawa usul persendirian RUU 355 adalah hasil keterbukaan boleh berbincang, bukan sekadar berbahas dan berdebat sahaja. Contohnya juga ialah penglibatan jentera parti membantu mangsa bencana seperti banjir dan sebagainya, menjadikan kita bersama dengan jentera kerajaan. Amalan seperti ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi, tetapi ketidak matangan berpolitik mencetuskan suara-suara negatif terhadap parti Islam ini dalam perkara yang tidak sepatutnya diragukan.

Selain itu, bersama dalam membela Palestin dan Aqsa walaupun ada perbezaan sikap terhadap penyelesaian dua negara Palestin. Kejayaannya kini negara Malaysia tidak mengiktiraf negara haram Israel seperti negara umat Islam yang lain. Contohnya juga dapat bersama membela umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman di tanah air sendiri.

Konsep Ta’awun mendekatkan PAS dengan masyarakat umum dan pihak lawan secara Muwajahah Silmiyyah yang menjadi konsep demokrasi. Walaupun masih ada banyak kelemahan dan salah laku dalam amalan demokrasi itu, tetapi hilangnya ketegangan dalam masyarakat telah memberi ruang yang lebih luas kepada PAS untuk bergerak lebih pantas yang wajib diatur dengan baik.

Khususnya kerjasama dalam perkara mempertahankan kedudukan Islam dan umat dalam arena politik negara adalah kewajipan yang wajib diketahui oleh setiap penganut Islam tanpa mengira kefahaman politik, termasuk orang Islam paling jahil. Ini adalah kewajipan umum yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam.

Kedudukannya sama apabila negara diancam oleh musuh luar yang mahu menjajah semula. Oleh sebab itu, adalah haram bersama musuh itu dan wajib bersama menghadapinya dan mempertahankan agama dan negara walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan yang ada.

Inilah sikap para ulama pada zaman awal Islam di era Amawiyyah dan Abasiyyah, walaupun mereka menanggung kezaliman kerajaan yang memerintah. Inilah pendekatan PAS ketika menuntut kemerdekaan, walaupun PAS menolak syarat-syarat kemerdekaan yang digariskan oleh penjajah sebelum mereka berundur. PAS tidak bersama dengan Komunis yang mengangkat senjata menentang penjajah dan menyokong ISA bagi menentang komunis itu. PAS juga tidak menerima syarat-syarat yang dibuat oleh penjajah.

PAS menentang tindakan yang lebih dikuasai oleh golongan kiri. Namun PAS tetap bersama merayakan kemerdekaan yang tidak sempurna dan menyertai Pilihan Raya Umum 1955, pra kemerdekaan, apabila PAS menjadi satu-satunya pembangkang yang berada dalam Majlis Mesyuarat sebelum merdeka dan terus menyertai pilihan raya selepas kemerdekaan kerana memilih pendekatan demokrasi walaupun menghadapi salah laku terhadapnya dalam masa pilihan raya dan dijatuhkan kerajaannya setelah menang di Kelantan dan Terengganu.

PAS bersedia menyertai Kerajaan Campuran selepas 13 Mei 1969 dan menubuhkan BN 1974 demi menyelamatkan negara dalam keadaan darurat, sehingga bersendirian selepasnya kerana perilaku zalim ke atas PAS, namun terus menjadi Harakah Islamiyyah yang semakin kuat walaupun di tempat tidak ada kerusi melalui pilihan raya.

Ketegasan PAS beristiqamah bersama Islam di masa pasang dan surut, di masa menang dan kalah pilihan raya, namun tetap tidak menyerah kalah dalam perjuangannya menegakkan Islam yang sempurna, laksana pokok yang bertambah subur kalau dicantas dan dipatahkan rantingnya.

Inilah firman Allah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ٢٤ تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (٢٧)

“Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad S.A.W) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (27)”

(Surah Ibrahim: 24-27)

Perhatikan kalangan yang tidak bersama PAS atau keluar PAS kerana menentang pendekatan yang telah diambil sejak dahulu, sama ada bertindak melompat ke dalam kerajaan yang dirasakan lebih selesa dan cepat mendatangkan hasil kebendaannya atau yang menubuhkan parti lain dan menjadikan PAS tempat persinggahannya sahaja kerana dianggap mustahil mendapat kemenangan bersama PAS.

Adapun PAS makin bertambah ahli, cawangan dan kawasannya sehingga berlipat kali ganda daripada yang gugur berciciran dalam perjalanannya menegakkan Islam sehingga kini, walaupun PAS menolong setiap orang yang dikeluarkan daripada lawannya.

Ini menandakan betapa istiqamah menjadi rahsia ketahanan PAS dan hubungannya dengan pihak lain tidak pernah merugikan. Mereka yang dapat meneruskan perjuangan bersama PAS hanya yang berwala’ dan taat kepada keputusan jemaah ini.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Jamadil Akhir 1439 / 25 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 25/2/2018