Worshop SEO bantu usahawan luaskan perniagaan

KOTA BHARU: Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan menerusi Gerakan Usahawan Kelantan (GU Kelate) telah menganjurkan Workshop SEO Google.
 
Seminar sehari penuh tersebut dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan dilangsungkan di Makmal Komputer, PKINK, di sini kelmarin.
 
Bengkel di bawah kelolaan Dewan Usahawan Kelantan (DUKE) itu bertujuan memberi pendedahan teknik berkesan meletakkan laman web di senarai teratas capaian carian Google dikenali sebagai ‘Search Engine Optimization’ (SEO).
 
Menurut Timbalan Pengerusi portfolio itu, Zulkifli Mamat, bengkel tersebut mensasarkan penyertaan dalam kalangan usahawan dan pengendali web khususnya anak Kelantan.
 
“Bengkel ini bagi memberi input penting ke arah memudahkan pelanggan mendapat maklumat perniagaan dari web.
 
“Semua tunjuk ajar pada pada bengkel tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Monaliza, Wan Yusof Wan Jeffery yang berpengalaman 8 tahun dalam pemasaran digital dan juga konsultan SEO,” maklumnya.
 
Sementara itu menurut Presiden DUKE, Ustaz Mohd Zaki Zakaria, pihaknya komited membimbing para usahawan Kelantan melalui seminar dan bengkel seumpama bagi membantu mereka berdaya saing dan maju.-HARAKAHDAILY 26/2/2018

Advertisement