Muslimat perlu berani bawa Islam kepada masyarakat

BATU SAPI: Muslimat PAS mesti berani membawa dan melaksanakan syariat Islam ke dalam masyarakat, lebih-lebih lagi bagi wanita yang bergerak kerja di bawah panji perjuangan Islam.
 
Seruan itu dinyatakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi di Pusat Khidmat Masyarakat PAS Batu Sapi, di sini kelmarin.
 
Jelasnya, dalam membina perjuangan Islam, Muslimat PAS perlu memperkuatkan dalaman kerana tanpa kekuatan ini tidak akan mampu melawan tribulasi dan ujian di luar. 
 
“Maka untuk menguatkan dalaman atau tarbiyah ini, kita kena rajin berzikir dan menghayati majlis ilmu serta menjaga tahajut malam.
 
“Setiap dari kita ada ujiannya sendiri, kita jangan merasa takut dengan ujian kerana ianya akan menjadi kekuatan kepada diri kita.
 
“Ibaratnya seperti pokok yang akarnya mencengkam kuat ke dasar bumi, semakin ia tumbuh tinggi maka makin banyak ujian yang akan dihadapi.
 
“Tetapi kerana akarnya yang mencengkam kuat maka ia dapat menghadapinya,” ungkap Sahar yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan.
 
Menurut beliau, perkara tersebut penting agar dapat menyingkirkan sikap-sikap mazmumah dalam diri. 
 
Tambahnya, ujian sebagai muslimah telah bermula sejak zaman sahabiah lagi sebagai contoh dalam kisah Saidatina Sumayyah dan keluarganya yang disiksa sehingga syahid.
 
“Ujian yang kita hadapi sekarang haruslah dilalui dengan sabar dan yakinlah bahawa semua ini akan mendapat ganjaran daripada Allah,” pesannya.
 
Pada Mesyuarat Agung Tahunan yang merupakan kali keempat diadakan itu, para perwakilan banyak membangkitkan isu penambahbaikan organisasi sesuai dalam suasana menghampiri PRU14. -HARAKAHDAILY 27/2/2018
Advertisement