BR1M umpama ubat panadol

KOTA BHARU: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang menjadi kebanggaan Kerajaan Persekutuan sebenarnya belum dapat meringankan bebanan ekonomi rakyat.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, peruntukan BR1M hanya dapat mengurangkan sementara bebanan ekonomi yang dihadapi rakyat.

Menurutnya, ia seumpama ubat panadol yang hanya mampu bertahan dan bukannya menyembuhkan penyakit.

“Mungkin usaha itu satu perkara yang baik bagi kerajaan, tetapi ia belum dapat menyelesaikan masalah rakyat berikutan kegawatan ekonomi sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dilapor berkata, BR1M dapat merangsangkan ekonomi negara dengan kuasa beli oleh rakyat.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, punca masalah ekonomi yang ditanggung rakyat sekarang berikutan GST yang dipaksa ke atas semua rakyat.

Katanya, kadar GST sebanyak 6 peratus merupakan jumlah yang begitu tinggi.

“Sekiranya GST masih lagi diperlukan lagi kerajaan sewajarnya kadar itu diturunkan lebih rendah atau 4 peratus,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, PAS akan menghapuskan GST sekiranya dapat mentadbir negara.

Katanya, penghapusan GST adalah sebahagian daripada manifesto parti itu bagi menghadapi PRU 14 tidak lama lagi.

“Langkah tersebut dibuat berikutan rakyat di negara ini di semua peringkat dibebani masalah ekonomi yang semakin teruk angkara GST,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2018