Equanimity: Tahniah kepada tindakan Kerajaan Indonesia

TINDAKAN kerajaan Indonesia merampas kapal layar mewah milik Jho Low yang disenaraikan oleh DOJ sebagai aset yang dituduh dibeli dari dana syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)  adalah selaras dengan peraturan antarabangsa dan wajar dipuji.

Advertisement

Berita ini tentunya menggembirakan rakyat Malaysia yang kesal dengan penyelewengan dana negara, namun sayang semua aset yang dirampas diserah kepada kerajaan Amerika.
Begitu juga laporan yang menyatakan Kerajaan Switzerland yang mendapat untung atas angin daripada wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank. Menteri Kewangannya Ueli Maurer berkata bahawa dana berkenaan telah disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya.

Ruginya kerajaan Malaysia yang enggan bertindak ke atas isu penyelewengan 1MDB. Betapa banyaknya duit yang dapat diselamatkan kembali. Kerajaan sepatutnya merasa malu dengan tindakan pelbagai negara yang bertindak ke atas dana negara yang diselewengkan itu. Tanpa tindakan undang-undang, maruah negara dan pemimpin negara akan terus tercemar.
Islam melarang membuat tuduhan dan fitnah, tetapi melakukan sesuatu tindakan yang boleh mengundang fitnah juga termasuk dalam larangan syarak.

Sehubungan itu PAS mendesak agar kerajaan mendedahkan hasil siasatan ke atas Jho Low yang telah berjalan bertahun-tahun, sehingga kini tiada sebarang tindakan. Takkan rakyat sendiri kita tidak mampu siasat? – HARAKAHDAILY 2/3/2018