Saya tak terasa pun nak jadi VIP

SAYA tak pernah terasapun nak jadi VIP. Saya hanya bercita cita menjadi al-Murabithuun. Dipanggil saya datang disuruh saya pergi. Disuruh ke depan saya di depan, diarah ke belakang ke belakanglah saya. Diarah ke tepi saya ke tepi, disuruh ke atas ke bawah, di situlah saya. 
 
Tika diarah saya menurut, tika diam saya memerhati, tika kelam saya mencari, tika dilambung hoyong hayang saya berpaut di tali nakhoda. Disuruh perang saya perang, diminta aman saya amankan, jika peluru datang kepada pimpinan, saya meluru menjadi benteng. Tika bertelagah nakhoda dengan yang lain, saya hanya ada satu nakhoda untuk dipertahankan.
 
Saya diasuh dengan fikrah harakah islamiyyah oleh para murabbi jemaah, saya ada pemimpin yang mengawal fikrah dan jalan bekerja bagi jemaah ini. Mereka mewarisi ke’khalifahah’an para nabi dan Rasul yang merintis dan menunjuk jalan perjuangan. Yang bercanggah dengan mereka saya simpangi, yang menongkah mereka saya betuli. Yang mencalarkan mereka saya perangi. Mereka rais saya mar’us, mereka imam saya makmum. Saya sanggup apa saja untuk memenuhi syarat saya sebagai mar’us, dicaci dimaki, dihina, disaman, ditangkap atau dipenjarakan. Mati belum masuk ke senarai kesanggupan kerana saya masih lemah. Tapi Allah akan tentukan bila masa itu sampai.
 
Mereka didulukan dalam apa jua situasi hatta yang bertembung dengan perasaan dan fikrah saya sendiri. Mereka tentu ada sebab musabab yang lebih baik dari saya. Di sana pasti ada barakah daripada Allah. Saya tidak akan bercakap lebih kuat daripada mereka, tidak mendahului perasaan saya di depan daripada arahan mereka. Saya dengar dan saya taat. Di akhirat saya mahu ditempatkan bersama himpunan para pimpinan yang adil dan bertaqwa. Saya mengharapkan jalan yang saya turuti di belakang mereka ini memberikan saya pahala dan beroleh rahmat syurga. ‘Mereka’ itu ialah Presiden dan para pembantunya. Yang menentang presiden, bukanlah dari kalangan ‘mereka’.
 
Sungguh jalan masih panjang. Sungguh manusia tidak maksum, sungguh mereka mungkin ada kesilapan. Jika belum bertemu syarat untuk hilang ketaatan, saya akan tetap di jalan kepatuhan. Saya hanya ada satu nakhoda, tidak dua tidak tiga. Lain daripada nakhoda adalah sahabat, pimpinan dan al-murabithun seperti saya juga. 
 
Jika masuk PAS dengan hasrat mengawal dan menentukan jalan sendiri. Sila ambil sedikit ruang untuk mengenali jantung hati jemaah ini. – HARAKAHDAILY 2/3/2018

Advertisement