Tindakan Azmin rakyat terkesan – PJ Selangor

SHAH ALAM : Hampir sejuta rakyat negeri Selangor yang berada di bawah kawasan yang diwakili 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menerima tempias akibat pembekuan peruntukan kewangan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sejak dua bulan lepas.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehin Mukhyi berkata sikap Azmin bertentangan dengan pendirian MB Selangor itu semasa mengumumkan pembentangan bajet 2018 negeri Selangor yang mahu ahli-ahli dewan undangan negeri bekerja berlumba-lumba membuat kebaikan.

“Sebenarnya pembekuan ini bukan masalah kepada kami sebagai Adun kawasan tetapi menjadi masalah dan terkesannya adalah rakyat di bawah kerana selama ini kita telah menyalurkan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Dengan pembekuan ini kita sudah tidak dapat menyalurkan lagi dan kami (13 Adun PAS) tetap berkhidmat dan bekerja untuk rakyat walaupun sampai sekarang peruntukan tersebut masih belum diterima, kami gunakan wang dari kami sendiri,” katanya pada sidang media khas PAS Selangor di Pejabat PAS Negeri Selangor, di sini kelmarin
 
Demikian itu, sembilan Adun PAS daripada 13 orang telah menggunakan sejumlah lebih RM663,000 peruntukan kewangan sendiri untuk melaksanakan program-program termasuk menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan mereka. 
 
Tambah beliau lagi, sekatan itu tidak hanya berlaku kepada peruntukan dana bagi 13 Adun sahaja malahan juga kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) turut ditahan walaupun telah diadakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkannya. – HARAKAHDAILY 2/3/2018
 

Editor : Ikuti sambungan pendedahan lanjut beliau yang disiarkan di Harakah cetak Bil 2328 edisi Isnin di pasaran nanti