PAN boleh mula ‘tutup kedai’

MEMBACA teks ucapan kemasukan rasmi bekas Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, ke dalam PPBM kelmarin, 1 Mac 2018, yang melambung tinggi PPBM dengan mengisytiharkan bahawa “hanya PPBM yang boleh menjangkau, membentuk dan memimpin pemikiran orang Melayu ke arah perubahan dengan meluas di seluruh negara” maka PAN, rakan PPBM di dalam Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini sering melaungkan bahawa parti itulah yang akan memainkan peranan penting di dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu Islam kepada PH, sudah boleh mula menimbangkan dengan seriusnya untuk tutup kedai, bubar parti dan menyertai PPBM.
 
Malah, bukan setakat PAN, tetapi PKR, satu lagi rakan PPBM di dalam PH, juga seharusnya merasa tertampar dengan pengisytiharan Wan Saiful bahawa “hanya PPBM yang boleh menawarkan barisan kepimpinan yang boleh diterima oleh semua untuk menjalankan tanggungjawab besar untuk memimpin fasa transisi negara” dan bahawa “PPBM ini lah satu-satunya parti yang boleh mendabik dada mengatakan bahawa kami adalah parti anak muda negara, dan dengan itu, parti inilah yang paling berpotensi mencorak masa depan negara”. Takkanlah PKR “tidak boleh menawarkan barisan kepimpinan yang boleh diterima oleh semua” dan takkanlah PKR “bukanlah parti anak muda negara”? – HARAKAHDAILY 3/3/2018
Advertisement